Kewujudan perunding cerai fenomena menakutkan

Dalam urusan perceraian, Mahkamah Syariah telah menetapkan prosedur tertentu yang perlu dilalui pasangan suami isteri termasuk penglibatan Jawatankuasa Pendamai - Gambar hiasan
Dalam urusan perceraian, Mahkamah Syariah telah menetapkan prosedur tertentu yang perlu dilalui pasangan suami isteri termasuk penglibatan Jawatankuasa Pendamai - Gambar hiasan
A
A
A

ISU kewujudan individu yang digelar sebagai 'Coach Cerai' terus mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna di media sosial.

Rata-rata gusar dengan kewujudan pihak luar yang didakwa memberi bimbingan atau nasihat berkaitan penceraian, khususnya apabila melibatkan pasangan yang masih terikat dengan perkahwinan sah.

Ramai yang turut mempersoalkan dari sudut etika serta batas peranan individu terbabit dalam urusan rumah tangga orang lain.

Penulis juga terkejut dengan kewujudan 'Coach Cerai', mana tidaknya 17 tahun melayari bahtera perkahwinan, ini kali pertama mendengar istilah ini.

Lebih menambah 'panas hati' netizen apabila kenyataan seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai 'Coach Cerai' kempunyai kemampuan menilai tahap kebahagiaan dan ketahanan sesebuah perkahwinan dalam tempoh singkat.

Katanya, dia hanya memerlukan lima minit untuk tahu pasangan itu berada dalam perkahwinan bahagia atau tidak.

Ramai yang mempersoalkan dakwaannya itu seolah-olah 'mengambil alih kerja Tuhan'. Tindakannya seolah-olah 'Nujum Pak Belalang' dalam meramalkan sesebuah ikatan perkahwinan.

Persoalannya bagaimana selebriti itu mudah percaya tanpa menyelidik latar belakang, kelayakan serta keupayaannya dalam menawarkan khidmat nasihat dalam perkahwinan dan penceraian.

Bagi penulis, perceraian tidak wajar dipromosikan sebagai jalan pintas, sebaliknya pasangan yang berdepan krisis rumah tangga digalakkan mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran yang sah dan berautoriti.

Artikel Berkaitan:

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, kerajaan memandang serius kemuliaan serta kedudukan tinggi institusi perkahwinan dalam Islam yang menuntut sebarang naratif, pendekatan atau istilah dikaitkan dengan perceraian ditangani secara berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab.

Katanya, kewujudan serta promosi perkhidmatan tertentu yang menggunakan penjenamaan seperti 'Coach Cerai' telah menarik perhatian masyarakat dan menimbulkan kekeliruan terhadap pendekatan sebenar Islam dalam menangani konflik rumah tangga serta krisis perkahwinan.

Isu ini turut mendapat perhatian pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed yang meluahkan kekeliruan terhadap kewujudan gelaran Coach Cerai ini.

Coach Cerai seharusnya tampil menjelaskan kepada masyarakat siapakah dirinya yang sebenar sama ada untuk menyelamatkan rumah tangga atau sebaliknya.

Sedangkan penceramah pun ada tauliah, trainer pun ada pengiktirafan daripada badan-badan autoriti yang melayakkannya untuk bersuara dan bercakap tentang hak dan hal-hal perundangan.

Rujukan seharusnya dibuat kepada pihak berautoriti yang bertauliah dan bukan bergantung kepada pandangan individu yang tidak jelas latar belakang serta kelayakannya.

Dalam urusan proses perceraian misalnya, mahkamah syariah menetapkan prosedur yang perlu dilalui pasangan suami isteri termasuklah Jawatankuasa Pendamai.

Justeru itu, orang ramai diminta supaya tidak mudah merujuk mana-mana pihak yang tidak mempunyai kepakaran yang diiktiraf.

Berhati-hatilah dalam meminta pandangan bimbingan agar tidak memburukkan lagi hubungan suami isteri.

*Azie Yahaya ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!