Kerajaan sasar larang remaja bawah 16 tahun buka akaun media sosial mulai tahun 2026 - Fahmi

Fahmi
Fahmi
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak di ruang digital dengan larangan pembukaan akaun media sosial kepada individu bawah 16 tahun mulai tahun depan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah tersebut adalah berasaskan keputusan Kabinet bagi mengekang aktiviti jenayah siber rentas umur serta melindungi kanak-kanak daripada risiko pemangsa seksual.

Menurutnya, kerajaan menjangkakan semua platform media sosial dapat mematuhi ketetapan baharu itu dalam tempoh yang ditetapkan selaras usaha memperkukuh keselamatan digital negara.

"Kita harap menjelang tahun depan, platform-platform media sosial akan akur dengan keputusan kerajaan untuk melarang kanak-kanak bawah 16 tahun membuka akaun media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penutup Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai di sini pada Ahad.

Fahmi turut menjelaskan, kerajaan sedang meneliti mekanisme pelaksanaan had umur tersebut melalui Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia, termasuk meneliti pendekatan negara seperti Australia dalam aspek penguatkuasaan.

Antara kaedah yang sedang dipertimbangkan adalah mewajibkan platform media sosial melaksanakan pengesahan eKYC menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID.

Beliau yakin, kerjasama antara kerajaan, badan kawal selia dan ibu bapa mampu memastikan ekosistem internet di Malaysia bukan sahaja pantas, meluas dan mampu milik, bahkan lebih selamat khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Usaha kerajaan untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak di ruang digital melarang individu bawah 16 tahun membuka akaun media sosial
  • Langkah ini dilakukan untuk mengekang aktiviti jenayah siber dan melindungi kanak-kanak daripada risiko pemangsa seksual
  • Kerajaan menjangkakan semua platform media sosial dapat mematuhi ketetapan baharu ini menjelang tahun depan
  • Mekanisme pelaksanaan had umur ini sedang diteliti melalui Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia
  • Antara kaedah yang dipertimbangkan adalah pengesahan eKYC menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!