Jatuhkan hukuman setimpal kepada pembunuh Suri

PENGESAHAN identiti mayat wanita dalam beg sebagai Suri Narudin bukan sahaja merungkai misteri kehilangan wanita itu malah turut meruntun hati masyarakat kerana mangsa diperlakukan sekejam itu.
Suri, 53, dikatakan bukan sahaja dibunuh, malah mayatnya disumbat ke dalam sebuah beg sebelum ditanam di sebuah rumah tidak berpenghuni di Batu 4 Pedas, Rembau pada 18 Disember lalu.
Lebih memilukan, keluarga mangsa juga terpaksa menerima hakikat bahawa Suri sudah tiada selepas ujian cap jari dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membuktikan identiti mayat yang ditemui ialah ahli keluarga mereka yang hilang.
Anak saudara Allahyarham yang mahu dikenali sebagai Mizan, 41, berkata, keluarganya sudah menjangkakan jasad berkenaan adalah ibu saudaranya yang mesra dipanggil 'Usu' sejak hari ketiga selepas bedah siasat dijalankan kerana beg yang dijumpai adalah milik mangsa.
"Berkat doa semua, akhirnya segalanya terbongkar dan disahkan bahawa mayat di dalam beg itu adalah ibu saudara saya.
"Selepas ujian DNA, kami berpuas hati kerana mendapatkan keputusan dengan cepat, saya berterima kasih kepada pihak polis. Difahamkan juga pengecaman dibuat melalui cap jari," katanya pada Rabu.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilapor berkata, pengesahan identiti itu dilakukan melalui cap jari yang diperolehi dan ia sepadan dengan data yang terdapat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau turut mengesahkan bahawa laporan analisis daripada Jabatan Kimia Malaysia sudah diterima dan mendapati profil spesimen yang dianalisis menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat dengan sampel DNA daripada waris mangsa.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat itu pada 18 Disember lalu yang dikaitkan dengan Suri yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.
Susulan itu, polis menahan dua lelaki masing-masing di Melaka termasuk suspek di Genting Sempah, Bentong, Pahang untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes pembunuhan kejam Suri turut mengimbau kembali kes sama seumpama itu membabitkan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dilaporkan hilang pada Disember 2023.
Pada 31 Disember tahun sama, mayat wanita tanpa kepala ditemui dengan bahagian badannya disumbatkan dalam plastik dan tong sampah serta dibuang dalam longkang tepi jalan dekat Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah kemudian pada 12 Ogos 2024 mengesahkan mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui dalam tong sampah itu adalah milik Istiqomah.
Kes Istiqomah ketika itu mencetuskan kemarahan awam apabila seorang pendidik, yang seharusnya dilindungi, menjadi mangsa pembunuhan ngeri sehingga tubuhnya dikerat dan dibuang bagi menghapuskan jejak.
Hakikat bahawa kes-kes sebegini terus berulang menunjukkan hukuman berat semata-mata belum cukup mengekang kejahatan, jika nilai kemanusiaan dan empati semakin terhakis dalam masyarakat.
Dari sudut keadilan, keluarga mangsa bukan sekadar menuntut jawapan, tetapi mengharapkan hukuman setimpal dikenakan agar ia boleh memberi pengajaran dan keinsafan.
Tuntutan menjatuhkan hukuman setimpal bukan didorong emosi semata-mata, sebaliknya berakar daripada keperluan memberi mesej jelas bahawa pembunuhan kejam tidak akan dikompromi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

