Pelanggaran alam sekitar: Mahkamah kenakan denda lebih RM3.81 juta di Johor

JOHOR BAHRU - Mahkamah menjatuhkan denda berjumlah lebih RM3.81 juta bagi kes-kes melibatkan pelanggaran undang-undang di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) sepanjang tahun ini.
Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara terkumpul selama setahun empat bulan terhadap individu serta pihak yang disabitkan kesalahan berkaitan alam sekitar dalam tempoh berkenaan.
Menurutnya, peningkatan kadar denda serta hukuman penjara itu mencerminkan tahap ketegasan penguatkuasaan dan penilaian serius terhadap impak pencemaran kepada alam sekitar, kesihatan awam serta kesejahteraan masyarakat.
“Bagi tempoh 2022 hingga 2025, JAS Johor telah memperkukuh tindakan penguatkuasaan.
“Ia dilihat selaras dengan peruntukan undang-undang dan tahap keseriusan kesalahan yang dikesan,” katanya.
Tambah Mohd Famey, kadar denda dan hukuman penjara yang lebih tinggi bukan semata-mata bersifat hukuman, tetapi bertujuan memberikan kesedaran dan pengajaran, selain mendorong pematuhan undang-undang.
Katanya, sepanjang 2025, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap individu serta pihak yang bertanggungjawab dan disabitkan kesalahan berkaitan alam sekitar.
“Hukuman yang dijatuhkan merangkumi penjara sehingga 16 bulan berserta denda, serta denda sehingga RM450,000, termasuk pelaksanaan hukuman penjara mengikut tahap keseriusan dan pengulangan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Mohd Famey berkata, pelaksanaan hukuman itu bertujuan memberikan kesan pencegahan yang jelas dan menghalang pengulangan kesalahan, khususnya bagi kesalahan serius dan berulang.
Katanya, JAS Johor akan terus memberikan keutamaan kepada penguatkuasaan terhadap kesalahan di bawah Seksyen 34A, Seksyen 34B dan Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang melibatkan pencemaran serius serta pengurusan bahan berbahaya tanpa kelulusan.
“Oleh itu, semua pemilik premis dan pengusaha industri diminta mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang serta memastikan sistem kawalan pencemaran berfungsi dengan berkesan.
“Dalam masa sama, orang awam turut digalakkan menyalurkan maklumat dan aduan melalui saluran rasmi JAS bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan segera dan berkesan.
“Sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar boleh dilaporkan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari, e-mel ke aduan_k@doe.gov.my atau portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Mahkamah menjatuhkan denda lebih RM3.81 juta untuk kes pelanggaran undang-undang alam sekitar di Johor
- Terdapat hukuman penjara terkumpul selama setahun empat bulan untuk kes-kes berkaitan pencemaran
- Penambahan kadar denda dan hukuman penjara mencerminkan keketatan penguatkuasaan terhadap pelanggaran alam sekitar
- Kadar denda dan penjara dianggap sebagai cara untuk memberi kesedaran dan mendorong pematuhan undang-undang
- JAS Johor memberi keutamaan kepada penguatkuasaan terhadap kesalahan serius seperti pencemaran dan pengurusan bahan berbahaya tanpa kelulusan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

