Zakat MAINPP peruntuk RM3.5 juta bantu 23,776 asnaf

BUKIT MERTAJAM - Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta bagi pelaksanaan Program Kembali Ke Sekolah 2026 melibatkan 23,776 penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, jumlah peruntukan tahun ini meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa kebajikan dan pendidikan golongan asnaf.
Menurutnya, program berkenaan merupakan program kemuncak agihan bantuan zakat di bawah skim pendidikan Zakat MAINPP yang dilaksanakan secara berperingkat mengikut daerah.
"Pelancaran skim ini menjadi bukti komitmen kerajaan negei dalam memastikan golongan asnaf terus dibela sekali gus anak-anak mereka dapat memulakan sesi persekolahan baharu dengan persediaan yang mencukupi setara dengan rakan-rakan mereka.
"Bagi hari ini, agihan dilaksanakan di MYDIN Bukit Mertajam melibatkan daerah Seberang Perai Tengah dengan peruntukan sebanyak RM807,900 dan jumlah penerima seramai 5,386 orang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Skim Agihan Zakat Pembelian Tanpa Tunai 'Kembali Ke Sekolah 2026', pada Isnin.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Muhammad Kairi Ghazali dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, setiap penerima layak mendapat baucar tanpa tunai bernilai RM150 bagi setiap anak, tanpa had bilangan tanggungan, sekiranya memenuhi kategori asnaf fakir atau miskin.
"Sekiranya sesebuah keluarga mempunyai lima orang anak dan layak sebagai asnaf, mereka akan menerima lima baucar bernilai RM150 setiap satu.
"Baucar tersebut boleh ditebus di 24 premis perniagaan panel yang dilantik oleh MAINPP, termasuk MYDIN yang juga merupakan pembayar zakat kepada Zakat MAINPP," jelasnya.
Ditanya mengenai senarai penerima, Mohamad berkata, data penerima diperoleh melalui kerjasama sekolah kebangsaan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pusat khidmat serta hasil bancian lapangan, melibatkan lima daerah di Pulau Pinang.
"Tahun lalu, program ini hanya melibatkan lebih 9,000 penerima, namun tahun ini jumlahnya meningkat kepada lebih 23,000 orang, menunjukkan keperluan dan keprihatinan yang semakin besar terhadap pendidikan anak-anak asnaf," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, penganjuran program dari daerah ke daerah bertujuan menonjolkan impak tinggi agihan zakat kepada masyarakat, sekali gus memberi keyakinan kepada para muzaki untuk terus menunaikan zakat di Pulau Pinang.
“Sokongan berterusan daripada pembayar zakat dan syarikat korporat amat penting bagi memastikan pembangunan asnaf dapat terus dilaksanakan.
"Usaha yabg dilaksabakan pada hari ini bukan sekadar bantuan bersifat sementara, tetapi pelaburan hangka panjang demi masa depan anak-anak dan kesejahteraan keluarga penerima," katanya lagi.
Ringkasan AI
- Zakat MAINPP memperuntukkan RM3.5 juta untuk Program Kembali Ke Sekolah 2026 untuk 23,776 penerima asnaf fakir dan miskin di Pulau Pinang
- Peruntukan tahun ini meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu
- Setiap penerima layak mendapat baucar tanpa tunai RM150 untuk setiap anak tanpa had bilangan tanggungan
- Agihan dilaksanakan di 24 premis perniagaan panel termasuk MYDIN
- Jumlah penerima meningkat kepada lebih 23,000 orang berbanding lebih 9,000 penerima tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

