LRA Karak Indah stabilkan bekalan air Bentong, Temerloh

KARAK – Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Karak Indah yang sudah berfungsi sepenuhnya membantu menstabilkan bekalan air sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk di kawasan Karak, Bentong dan Lanchang, Temerloh.
Loji itu mampu membekalkan air kepada kira-kira 2,000 akaun pengguna termasuk hampir 400 akaun di kawasan Lanchang.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, loji terbabit membolehkan bekalan air dikawal dan disalurkan secara seimbang supaya sampai ke semua kawasan terlibat.
“Sebelum ini, kawasan berkenaan bergantung kepada loji lama yang mempunyai kapasiti terhad, menyebabkan bekalan air tidak begitu stabil.
"Jadi, dengan LRA Karak Indah, kita dapat memastikan pengguna menerima bekalan air yang lebih konsisten dan selamat,” katanya ketika lawatan media ke loji berkenaan sempena Program Jalinan Mesra: Media Pahang x PAIP di sini pada Selasa.
Program bermula dengan pergerakan konvoi ke LRA Karak Indah, sebelum peserta diberikan taklimat berkaitan operasi loji serta proses rawatan air daripada sumber mentah hingga ke pengguna yang telah disampaikan oleh Pengurus Besar Perkhidmatan Air, Ir Abdul Aziz Mohamed Noh.

Saiful Zaini memberitahu, pembinaan dan pengoperasian LRA Karak Indah antara pelaburan berterusan yang dilaksanakan oleh PAIP bagi memastikan sistem bekalan air yang lebih stabil, selamat dan berdaya tahan, sejajar dengan aspirasi kerajaan Pahang.
Jelasnya, lawatan itu loji juga memberi ruang kepada rakan media untuk melihat sendiri operasi loji, cabaran teknikal yang dihadapi
"PAIP menghargai peranan dan komitmen berterusan rakan media sebagai akan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berfakta kepada rakyat khususnya berkaitan usaha penambahbaikan perkhidmatan bekalan air negeri ini.
"Pelaporan yang bertanggungjawab dan membina ini amat penting dalam membina kefahaman awam serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap inisiatif, selain perancangan masa hadapan sektor bekalan air di Pahang," ujarnya.
Saiful Zaini memaklumkan, program libat urus bersama media adalah sebahagian daripada pendekatan keterbukaan dan ketelusan PAIP dalam berkongsi perkembangan semasa pelaksanaan Transformasi Air Pahang (TAP), iaitu pelan menyeluruh kerajaan negeri bagi menangani isu bekalan air secara sistematik dan berfokuskan keperluan rakyat.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya menyasarkan penyelesaian 90 peratus masalah bekalan air kawasan ‘blackspot’ di negeri ini menjelang akhir 2026 menerusi TAP seiring dengan hasrat Menteri Besar Pahang.
Beliau berkata, tumpuan turut diberikan kepada penggantian paip usang bagi mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) dan pendigitalan perkhidmatan sebagai langkah meningkatkan kecekapan pengurusan air.
"PAIP percaya hubungan erat dan saling percaya antara syarikat dan rakan media merupakan elemen penting dalam menjayakan agenda transformasi ini.
"Sokongan rakan media bukan sahaja membantu menyampaikan maklumat kepada rakyat, malah berperanan sebagai jambatan komunikasi yang menghubungkan PAIP dengan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Ir Abdul Aziz berkata, loji baharu itu dibina untuk memastikan bekalan air mencukupi terutamanya di kawasan hujung seperti Jambu Rias dan sempadan Lancang, yang sebelum ini menjadi isu utama masyarakat dan wakil rakyat tempatan.
Menurutnya, LRA ini dibina bermula 2020 dengan kos kontrak RM37.8 juta dan berkapasiti 11 juta liter sehari dan ia melengkapkan loji lama Bandar Karak yang berkapasiti 6 juta liter sehari.
"Jadi, dengan dengan kedua-dua loji beroperasi, jumlah bekalan kini mencapai 17 juta liter sehari.
"Operasi loji lama hanya perlu berjalan 13 jam, manakala loji baharu 12 jam dan sistem ini juga membolehkan simpanan air untuk pembangunan masa depan,” katanya.
Beliau menjelaskan, separuh daripada bekalan LRA Karak Indah juga membekalkan kawasan Lanchang dan dapat atasi permasalahan terdahulu.
Ringkasan AI
- Operasi Loji Rawatan Air Karak Indah membantu stabilkan bekalan air di Karak, Bentong dan Lanchang, Temerloh
- Loji mampu membekalkan air kepada kira-kira 2,000 akaun pengguna
- Datuk Saiful Zaini mengatakan loji menyediakan bekalan air lebih konsisten dan selamat
- Pembinaan dan pengoperasian LRA Karak Indah adalah pelaburan berterusan PAIP untuk bekalan air lebih stabil
- Loji baharu ini mempunyai kapasiti 11 juta liter sehari, meningkatkan jumlah bekalan air ke 17 juta liter sehari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

