'Bila bangun tidur, air sudah cecah paras pinggang' - Mangsa banjir

KUANTAN - “Saya ingatkan sedang bermimpi, apabila bangun rupanya air sudah melimpah masuk ke dalam rumah setinggi kira-kira setengah meter.”
Itu antara perkongsian warga emas, Romalah Yusof, 72, yang berdepan detik cemas apabila kediamannya di Kampung Jaya Gading di sini dinaiki air banjir sejak Selasa.
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada awal pagi dan beliau tidak sempat menyelamatkan semua harta benda kerana air naik secara mendadak.
“Apabila bangun tidur, saya nampak air sudah masuk ke dalam rumah ketika itu setinggi kira-kira 0.5 meter. Saya sempat mengalihkan tilam dan beberapa barangan, namun tidak sempat menyelamatkan semuanya kerana air naik terlalu cepat.
“Rumah kayu saya memang sudah tinggi, tetapi apabila turun dari rumah, air sudah mencecah paras pinggang, kira-kira satu meter. Saya terpaksa menyelamatkan diri bersama anak dan cucu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Jaya Gading di sini pada Khamis.
Bagi penduduk Kampung Seri Damai, Zuhaimi Mustafa, 56, berkata, kawasan tempat tinggalnya dinaiki air hampir setiap tahun, namun kejadian kali ini antara yang paling buruk selepas banjir besar pada 2021.
Menurutnya, kejadian empat tahun lalu mengakibatkan kerosakan teruk apabila harta benda ditenggelami air akibat limpahan luar jangkaan walaupun rumahnya berada di kawasan lebih tinggi.
“Biasanya rumah saya selamat daripada banjir, tetapi pada 2021 air naik sehingga menjejaskan kenderaan.
“Kali ini, saya sempat mengalihkan barangan dan kenderaan. Anak dan isteri berada di PPS, manakala saya memilih untuk kekal di rumah bagi memantau paras air yang setakat ini masih terkawal,” ujarnya.
Zuhaimi memberitahu, banjir kali ini dipercayai berpunca daripada gabungan hujan lebat dan limpahan air sungai, selain faktor air pasang yang meningkat pada waktu malam.
“Dahulu, semasa kecil, hujan lebat macam mana sekalipun jalan kampung masih boleh dilalui. Tetapi sekarang, hujan berterusan sedikit sahaja, air sudah cepat naik,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap sistem perparitan yang dilihat tidak lagi mampu menampung jumlah air seperti sebelum ini.
“Saya berharap pihak berkaitan sentiasa memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohammad Azrin Zalzali, 36, berkata pengalaman menghadapi beberapa siri banjir sebelum ini membantu penduduk bertindak lebih awal.
“Kami sudah lali dan tahu bila masa sesuai untuk mengalihkan barangan setiap kali musim tengkujuh,” katanya yang sudah berada selama empat hari di PPS.
Ringkasan AI
- Romalah Yusof, warga emas berusia 72 tahun, terkejut apabila bangun tidur menemui rumahnya yang terletak di Kampung Jaya Gading telah dinaiki air setinggi setengah meter
- Beliau tidak sempat menyelamatkan semua harta benda kerana air naik dengan cepat, sekalipun rumah kayu yang didiaminya sudah tinggi
- Zuhaimi Mustafa, penduduk Kampung Seri Damai, mengalami banjir yang dikatakannya antara yang terburuk sejak banjir besar pada tahun 2021, dengan air meningkat sehingga menjejaskan harta benda dan kenderaan
- Banjir kali ini dipercayai berpunca dari kombinasi hujan lebat dan limpahan air sungai, ditambah dengan fenomena air pasang pada waktu malam
- Penduduk berharap pihak berwajib akan memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik untuk mengurangkan risiko banjir di masa depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

