Peluang ekonomi perlu boleh diakses semua golongan

KUANTAN - Usaha membuka peluang ekonomi di Pahang perlu disertai penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan semua lapisan masyarakat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah, warga emas, orang kurang upaya (OKU), masyarakat Orang Asli serta penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, keadaan tempat tinggal, pengangkutan, kemampuan kewangan dan keperluan sokongan golongan berkenaan perlu diambil kira dalam penyampaian perkhidmatan.
“Meskipun pendigitalan dapat memudahkan urusan rakyat, namun bantuan secara bersemuka masih penting bagi mereka yang memerlukannya.
“Kita mahu rakyat tahu ke mana mereka boleh pergi, siapa yang boleh dihubungi dan bagaimana sesuatu permohonan atau rujukan boleh dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim sempena Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bersasar Wilayah Timur 2026 di Paya Besar, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.

Wan Rosdy berkata, agenda SDG perlu diterjemahkan melalui tindakan yang dekat dengan kehidupan rakyat, termasuk membuka peluang kepada golongan muda, membantu keluarga meningkatkan taraf hidup dan memperbaiki mutu perkhidmatan.
“Kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh kemudahan asas serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja supaya selari dengan keperluan pembangunan semasa,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Indikator SDG 2024, akses bekalan elektrik di Pahang mencapai 100 peratus, penggunaan internet sebanyak 97.3 peratus, manakala perkhidmatan air minuman terurus selamat mencatatkan 98 peratus.
“Pencapaian ini menyediakan asas penting kepada kegiatan ekonomi, pembelajaran dan urusan harian rakyat,” katanya.
Daripada sudut ekonomi, Pahang mencatatkan pertumbuhan 3.2 peratus pada 2025 dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada RM71 bilion berbanding RM68.8 bilion pada tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan ini perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan ruang perniagaan yang lebih luas untuk masyarakat setempat,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Rosdy berkata, pencapaian di peringkat negeri perlu dilihat bersama keadaan sebenar di setiap daerah dan komuniti.
“Tahap akses yang tinggi perlu disertai perkhidmatan yang berkualiti dan boleh diharap.
“Begitu juga dengan pertumbuhan ekonomi dan kita perlu melihat sejauh mana keluarga berpendapatan rendah, penduduk luar bandar serta golongan yang memerlukan sokongan dapat mengambil bahagian dalam peluang yang tersedia,” jelas beliau.
Dalam konteks Paya Besar, beliau berkata, kawasan itu mempunyai potensi pembangunan melalui kekuatan institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), sektor industri serta peluang dalam bidang halal.
Katanya, hubungan antara institusi pendidikan dan industri perlu diperkukuh bagi memastikan latihan kemahiran serta pembangunan bakat memenuhi keperluan pasaran kerja.
“Paya Besar mempunyai ruang untuk menghubungkan kekuatan pendidikan dan industri di Gambang dengan kegiatan pelancongan, warisan serta keusahawanan komuniti.
“Jika potensi ini diusahakan dengan baik, lebih ramai penduduk dapat membina kerjaya, mengembangkan perniagaan dan meningkatkan taraf hidup di tempat sendiri. Inilah kemajuan yang ingin kita lihat di seluruh Pahang,” katanya.
Selain Paya Besar, daerah Lipis turut dikenal pasti sebagai antara lokasi pelaksanaan Program SDG Bersasar Wilayah Timur bagi memperluas manfaatnya kepada lebih ramai penduduk, khususnya masyarakat luar bandar dan Orang Asli.
“Saya berharap pengalaman penganjuran program di Paya Besar dapat dimanfaatkan dan disesuaikan dengan keperluan masyarakat di Lipis, terutama dalam memperluas akses kepada perkhidmatan, latihan kemahiran serta peluang menjana pendapatan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

