Pesta Pulau Pinang rehat enam tahun - Ketua Menteri

GEORGE TOWN - Pesta Pulau Pinang 2025/2026 akan menjadi edisi terakhir dianjurkan di Tapak Pesta Pulau Pinang di sini sebelum direhatkan selama enam tahun bermula tahun depan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, perkara itu bagi memberi laluan kepada pembinaan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) oleh MRT Corp di tapak berkenaan.
"Pada tahun lepas, saya telah memaklumkan kemungkinan edisi ke-58 menjadi edisi terakhir sebelum penganjuran ditangguhkan bagi memberi laluan kepada pembinaan laluan LRT Laluan Mutiara dan TOD oleh MRT Corp.
"Namun berdasarkan perkembangan terkini MRT Corp hanya akan mengambil alih tapak ini pada April 2026, ia membolehkan Pesta Pulau Pinang diteruskan untuk edisi ke-59,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang 2025/2026 di Dewan Terbuka Tapak Pesta Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan turut dihadiri isterinya Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Memandangkan edisi ke-59 ini merupakan edisi terakhir sebelum penangguhan selama enam tahun Chow berkata, Pesta Fun Walk julung kali telah diadakan pada 29 November sebagai simbolik sokongan masyarakat terhadap penganjuran pesta tersebut selama ini.
Mengimbau mengenai sejarah Pesta Pulau Pinang beliau berkata, sejak dianjurkan pada 1966, ia berkembang daripada sebuah karnival jualan di Padang Kota Lama dan Lebuh Macallum sebelum beroperasi secara tetap di Tapak Pesta Sungai Nibong sejak 1974.
"Nostalgia sepanjang pelayaran 59 tahun ini diabadikan melalui kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri dalam pameran "Tradisi Merentasi Generasi” di Galeri Legasi Mutiara yang mempamerkan bahan sejarah termasuk koleksi tiket sejak 1978,” katanya.
Beliau berkata, tapak pesta seluas 8.14 hektar itu, dilengkapi dengan pelbagai fasiliti antaranya gerai, parkir, surau, tandas, taman mini, mesin juruwang automatik (ATM) dan pavilion agensi negeri, selain menjadi simbol hubungan diplomatik melalui Pavilion Sumatera Utara, Sumatera Barat, Acheh dan Thailand.
Kon Yeow berkata, edisi kali ini berlangsung selama 36 hari bermula 6 Disember 2025 hingga 10 Janauari 2026, mengetengahkan pelbagai produk jualan daripada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agensi negeri di samping penyertaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
"Seiring peningkatan pelancong asing, tiket masuk khusus untuk bukan warganegara turut diperkenalkan tahun ini pada harga RM10 seorang, manakala harga tiket untuk warganegara kekal RM5 dan orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dikenakan bayaran,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Pesta Pulau Pinang 2025/2026 akan menjadi edisi terakhir sebelum ditangguhkan selama enam tahun untuk pembinaan laluan LRT dan TOD oleh MRT Corp
- Edisi ke-59 ini diizinkan berlangsung kerana MRT Corp hanya akan mengambil alih tapak pada April 2026
- Pesta Fun Walk diadakan sebagai simbolik sokongan masyarakat terhadap penganjuran pesta
- Sejak 1966, Pesta Pulau Pinang berkembang dari karnival jualan menjadi acara tahunan dengan pelbagai fasiliti
- Edisi kali ini berlangsung selama 36 hari dengan penyertaan pelbagai usahawan PKS, agensi negeri dan peningkatan pelancong asing
- Tiket masuk khusus untuk bukan warganegara diperkenalkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
