Masjid jadi medium pelancongan Islam rahmah

SHAH ALAM - Pelancongan masjid yang dilaksanakan secara tersusun dan beretika mampu menjadi medium berkesan untuk menyampaikan mesej Islam sebagai agama rahmah, selain memperkukuh perpaduan nasional dalam masyarakat majmuk.
Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Datuk Muhammad Farhan Wijaya berkata, pendekatan itu membolehkan masjid berfungsi bukan sekadar sebagai tempat ibadah, malah sebagai ruang pembelajaran dan interaksi antara budaya serta agama.
“Institusi masjid turut menjadi ruang untuk masyarakat memahami Islam secara sederhana dan berhikmah melalui pendekatan pelancongan beretika,” katanya ketika berucap semasa Pelancaran Program Salam Shah Alam: Mosque Tourism Insight sempena Mosque Open Day di sini pada Isnin.
Program itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi taklimat pelancongan masjid, tayangan video korporat Mosque Tourism, penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik dan lawatan berpandu ke sekitar masjid yang menjadi ikon negeri Selangor itu.
Program itu turut membuka ruang kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk mengenali fungsi masjid, memahami asas Islam serta menghayati seni bina dan sejarah MSSAAS yang terkenal dengan kubah biru ikoniknya.
Muhammad Farhan memberitahu, pelaksanaan program itu selari dengan peranan masjid sebagai institusi sosial yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata, pada tahun lalu, MSSAAS merekodkan lebih 90,787 kunjungan pelancong antarabangsa, sekali gus menunjukkan potensi besar masjid itu untuk diketengahkan sebagai model pelancongan masjid bertaraf antarabangsa.
“Angka itu membuktikan masjid ini mempunyai tarikan tersendiri dan berupaya menjadi ikon pelancongan Islam yang berdaya saing di peringkat global,” tambah beliau.
Sementara itu, Presiden Malaysia International Tourism Development Association (MITDA), Kapten Mahadzir Mansor berkata, inisiatif pelancongan Islamik mampu memperkukuh ekosistem pelancongan Islam negara serta meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam global.
“Pelancongan Islam bukan sekadar destinasi fizikal, tetapi pengalaman yang berteraskan nilai, adab dan kefahaman.
“Masjid memainkan peranan penting sebagai pusat warisan, ilmu dan dakwah yang inklusif,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara masjid, agensi kerajaan dan pemain industri pelancongan.
“Kolaboratif ini secara tidak langsung dapat memastikan pelancongan masjid dilaksanakan secara mampan dan profesional,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Pelancongan masjid mampu menyampaikan mesej Islam sebagai agama rahmah dan memperkukuh perpaduan nasional
- Pendekatan pelancongan tersebut menjadikan masjid sebagai tempat pembelajaran dan interaksi antara budaya
- Program Salam Shah Alam: Mosque Tourism Insight dilancarkan untuk mempromosikan pelancongan masjid
- Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi model pelancongan masjid bertaraf antarabangsa dengan lebih 90,787 kunjungan pelancong antarabangsa
- Inisiatif pelancongan Islamik dipandang sebagai cara untuk meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam global
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

