[VIDEO] Imej Islam rahmah, inklusif dan berkemajuan jadi fokus Menteri Agama baharu
PUTRAJAYA – Imej Islam sebagai agama yang membawa rahmah, bersifat inklusif serta berkemajuan akan menjadi fokus utama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu, Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan Islam dilihat sebagai agama yang memberi kebaikan bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Dalam masa yang sama, kita ingin menunjukkan kepada semua bahawa Islam itu adalah rahmah, Islam itu adalah membawa kerahmatan kepada semua, bukan hanya kepada orang Islam tetapi kepada semua, lil ‘alamin,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar di Kompleks Islam sempena hari pertama menjawat jawatan itu pada Rabu.
Turut hadir, timbalannya, Marhamah Rosli dan pegawai kanan agensi.
Zulkifli berkata, beliau menerima tawsiyah dan pesanan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar amanah yang dipikul dilaksanakan sebaik mungkin demi negara.
“Yang di-Pertuan Agong ada menyampaikan pesanan-pesanan untuk melakukan sebaiknya kepada negara dan doakan saya supaya kita dapat melakukan yang sebaiknya, dapat melakukan anjakan yang lebih baik,” jelas beliau.
Mengulas mengenai industri halal, Zulkifli berkata, Malaysia berada pada landasan kukuh dalam industri itu dengan rekod pengiktirafan antarabangsa yang membanggakan.
“Sebenarnya, kita sudah mempunyai track yang sangat baik. Malahan, negara kita telah diiktiraf sebagai negara yang terbaik di dunia.
"Malaysia telah mengiktiraf lebih 92 badan halal di dunia daripada 47 buah negara,” ujarnya.
Zulkifli sebelum ini sebagai Timbalan Menteri dinaikkan pangkat menggantikan Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang digugurkan daripada barisan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan.
Menyentuh soal pelantikan dan amanah yang digalas, Zulkifli menegaskan kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan negara perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan juga pimpinan yang lain memilih kami berdua untuk memimpin hal ehwal agama ini,” katanya.
Tambahnya, amanah tersebut merupakan satu taklif yang menuntut pelaksanaan terbaik dengan sokongan pasukan serta kerjasama semua agensi berkaitan.
Ringkasan AI
- Imej Islam sebagai agama yang membawa rahmah, bersifat inklusif serta berkemajuan akan menjadi fokus utama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu, Dr Zulkifli Hasan
- Pendekatan tersebut penting bagi memastikan Islam dilihat sebagai agama yang memberi kebaikan bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang
- Islam dianggap sebagai agama yang membawa kerahmatan kepada semua, bukan hanya kepada orang Islam tetapi kepada semua, lil 'alamin
- Dr Zulkifli Hasan menyuarakan fokus ini menerusi sidang akhbar di Kompleks Islam sempena hari pertama menjawat jawatan
- Turut hadir dalam sidang akhbar itu adalah timbalannya, Marhamah Rosli dan pegawai kanan agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
