Titah Adendum: Najib kecewa, kes masih berterusan dua tahun

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa kecewa susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum bagi menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 72, berkata kekecewaan itu berpunca daripada isu berkaitan Titah Adendum yang masih belum diselesaikan meskipun telah berlarutan hampir dua tahun.
"Sudah tentu beliau (Najib) sangat kecewa. Keputusan mengenai Titah Adendum diberikan pada 2024 dan sekarang (ia berlangsung) sudah dua tahun.
"Jelas ada ketidakjujuran dalam isu ini di mana. Selama ini, kami telah disesatkan apabila kewujudan addendum dinafikan.
"Kami memohon salinan asal Titah Addendum kerana ia penting untuk menentukan siapa yang memegangnya, bagaimana ia dikeluarkan dan siapa yang menyembunyikannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

Anak kelahiran Pahang itu telah menjalani hukuman pemenjaraan lebih tiga tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas dihukum penjara kerana bersalah atas kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Jika bekas pemimpin UMNO itu berjaya dalam permohonannya, maka beliau akan menjalani hukuman penjara di kediaman sendiri.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah menolak permohonan tersebut, maka Najib perlu kekal di penjara yang sama dan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Walau apa sahaja keputusannya kelak, kedua-dua pihak masih berpeluang untuk memfailkan rayuan bagi keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Pada 24 November lalu, Alice menetapkan 5 Januari tahun depan untuk menyampaikan keputusan itu selepas mendengar hujah daripada Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan dan enam responden lain.
Ujar Muhammad Shafee, kegagalan pihak berkuasa menangani isu berkenaan secara telus telah menimbulkan persoalan serius terhadap tadbir urus dan integriti institusi berkaitan.
Menurut beliau, pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan secepat mungkin dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan tersebut.
"Kami telah memohon agar alasan penghakiman bertulis dan rekod rayuan disegerakan. Tiada jalan lain selain proses rayuan.
"Terdapat keperluan lain untuk parol tetapi kami tidak mendedahkannya buat masa ini. Najib telah membincangkannya tetapi tidak memberi arahan.
"Kami berpandangan bahawa klien kami tidak mendapat keadilan yang sewajarnya, dan isu ini bukan sekadar kes individu, tetapi melibatkan institusi Raja-Raja Melayu, Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara," ujarnya.
Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kecewa kerana Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah
- Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan kekecewaan itu disebabkan isu Titah Adendum yang belum diselesaikan hampir dua tahun
- Titah Adendum tersebut sepatutnya dibincangkan pada 29 Januari 2024 namun masih belum ada penyelesaian
- Mereka mendakwa telah disesatkan kerana kewujudan addendum dinafikan selama ini
- Peguam Najib memohon salinan asal Titah Addendum untuk menentukan siapa yang memegang dan menyembunyikannya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

