Perak manfaat industri kreatif, sokong Tahun Melawat Malaysia 2026

Mohamad Kamil (tengah) memukul gong sebagai tanda gimik perasmian Hingo Fest 2025 di Persiaran Bandaraya Ipoh pada Ahad.
Mohamad Kamil (tengah) memukul gong sebagai tanda gimik perasmian Hingo Fest 2025 di Persiaran Bandaraya Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak memberi komitmen penuh dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memperkukuh penganjuran program pelancongan dan industri kreatif di negeri ini.

Exco Industri, Pelaburan, Pelancongan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, usaha berterusan dilaksanakan Tourism Perak bagi memastikan negeri itu kekal sebagai antara destinasi utama pelancongan, selari usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.

"Kempen ini memberi penekanan kepada kepelbagaian produk pelancongan, pengalaman unik, warisan budaya serta pembangunan pelancongan yang mampan.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan, pihak berkuasa tempatan, pemain industri serta komuniti setempat bagi memastikan Perak tampil sebagai destinasi pilihan sepanjang Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya dalam ucapan perasmian Hingo Fest 2025 di Persiaran Bandaraya Ipoh di sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie.

Sze Yee berkata, Hingo Fest 2025 yang memasuki penganjuran tahun kedua menjadi antara platform penting dalam menceriakan bandaraya Ipoh, khususnya pada hujung minggu.

Katanya, menampilkan 60 khemah jualan melibatkan pelbagai segmen termasuk makanan dan minuman, pencuci mulut, kopi, aksesori, kraf, minyak wangi, pakaian serta produk kreatif tempatan, penganjurannya antara lain menyokong ekosistem usahawan tempatan dan industri kreatif.

"Hingo dalam dialek Perak membawa maksud bising yang melambangkan suasana riuh, meriah dan penuh warna-warni. Festival ini diwujudkan bagi menghidupkan suasana bandar dengan aktiviti santai, kreatif dan mesra masyarakat," katanya.

Dengan kehadiran hampir 10,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran, festival berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan Street Soccer 3 lawan 3 tanpa penjaga gol yang melibatkan pelajar prauniversiti dan universiti awam serta swasta.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pameran seni Putera Perennial yang menghimpunkan karya catan, kolaj dan lukisan hasil pelajar Arts Thoroughbred Studio dari beberapa institusi pendidikan sekitar Perak.

Program Kopi Talk anjuran Coffee Society Ipoh turut menarik perhatian pengunjung menerusi aktiviti interaktif seperti pengalaman membancuh kopi, seni latte serta penglibatan kanak-kanak sebagai barista muda, sekali gus memperkenalkan budaya kopi kepada semua lapisan masyarakat.

Pada sebelah malam, suasana festival diteruskan dengan program bicara santai bersama personaliti terkenal, PU Riz.

Manakala pada hari terakhir penganjuran, Hingo Fest 2025 menampilkan motor show serta pertandingan dan pameran motosikal melibatkan kategori skuter moden termasuk Vespa serta motosikal retro dan klasik, sekali gus menambah tarikan kepada peminat permotoran.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Perak berkomitmen penuh untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memperkukuhkan program pelancongan dan industri kreatif
  • Kempen itu menekankan pada kepelbagaian produk pelancongan, pengalaman unik dan warisan budaya
  • Kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak untuk memastikan Perak menjadi destinasi pilihan sepanjang kempen
  • Hingo Fest 2025 adalah platform yang memeriahkan bandaraya Ipoh dan menyokong ekosistem usahawan tempatan
  • Festival tersebut menarik hampir 10,000 pengunjung dengan aktiviti yang pelbagai termasuk pertandingan Street Soccer, pameran seni dan program Kopi Talk

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!