[VIDEO] Kerajaan Perak tegas tangani isu buli, jamin fokus utama di semua peringkat

A
A
A

PARIT - Kerajaan negeri Perak memberi jaminan isu buli dalam kalangan pelajar dijadikan fokus utama dengan langkah menanganinya dilakukan secara serius di semua peringkat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, hasil pemantauan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mendapati setakat ini tiada kes buli serius direkodkan di sekolah-sekolah di negeri ini.

Khairudin ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz (GPMP) 2025 sempena 50 Tahun Jubli Emas Felcra Nasaruddin di Dataran Cempaka Sari, pada Selasa.
Khairudin ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz (GPMP) 2025 sempena 50 Tahun Jubli Emas Felcra Nasaruddin di Dataran Cempaka Sari, pada Selasa.

Menurut beliau, insiden yang pernah berlaku sebelum ini dapat ditangani dengan berkesan oleh pihak sekolah melalui laporan segera serta tindakan intervensi yang dilaksanakan mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Kita tidak mahu kejadian tragis seperti menimpa Allahyarham Zara Qairina berulang di Perak. Alhamdulillah, setakat ini kes buli di negeri ini belum di tahap membimbangkan dan berjaya ditangani dengan baik hasil tindakan segera pihak sekolah, PPD dan JPN.

“Saya yakin kepimpinan sekolah khususnya pengetua dan guru besar sentiasa mengambil inisiatif terperinci bagi membendung masalah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz (GPMP) 2025 sempena 50 Tahun Jubli Emas Felcra Nasaruddin di Dataran Cempaka Sari di sini, pada Selasa.

Kehadiran peserta Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz (GPMP) 2025 sempena 50 Tahun Jubli Emas Felcra Nasaruddin disambut meriah di Dataran Cempaka Sari, Parit pada Selasa.
Kehadiran peserta Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz (GPMP) 2025 sempena 50 Tahun Jubli Emas Felcra Nasaruddin disambut meriah di Dataran Cempaka Sari, Parit pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Khairudin berkata, berdasarkan dapatan laporan diberikan, sebarang kes buli yang berlaku disiasat segera mengikut pekeliling KPM iaitu laporan awal dalam tempoh satu hari, laporan susulan tiga hari dan laporan penuh dalam masa tujuh hari.

Jelasnya, proses permuafakatan antara mangsa dan pelaku turut ditekankan supaya penyelesaian lebih berkesan dapat dicapai.

"Kita mahu murid-murid dapat fokus kepada pembelajaran tanpa terganggu dengan masalah penderaan sesama rakan sebaya," ujarnya.

Mengulas cadangan penubuhan jawatankuasa khas seperti yang dilakukan kerajaan Johor, Khairudin menjelaskan, Perak sudah menubuhkan jawatankuasa anti-buli di peringkat negeri dan daerah sejak sekian lama.

Katanya, di peringkat negeri, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri, manakala di daerah ia diketuai pegawai pendidikan daerah.

"Setiap PPD ada mekanisme pemantauan termasuk melakukan pemeriksaan mengejut di asrama pada waktu malam untuk memastikan suasana pembelajaran dan disiplin pelajar terkawal.

“Selain itu, kita turut libatkan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan serta agensi berkaitan untuk memberi pandangan dan kerjasama," katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.

Baginda bertitah, gejala buli sekiranya tidak dibendung sejak dari peringkat awal, berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!