Peluang terbuka orang muda tadbir negara

PENGUMUMAN barisan Kabinet kerajaan Madani oleh Perdana Menteri minggu lalu memberi gambaran masih ada sinar untuk golongan muda dalam politik Malaysia.
Nama-nama seperti Dr Mohammed Taufiq Johari, Akmal Nasrullah Mohd Nasir diangkat menjadi menteri penuh ketika masing-masing berusia bawah 40 tahun.
Ia secara tidak langsung memberi gambaran bukan hanya orang muda mengetuai sayap parti sahaja yang berpeluang memegang jawatan dalam kerajaan.
Mohammed Taufiq misalnya, diberi peluang menjadi Menteri Belia dan Sukan pada umur 29 tahun, manakala timbalannya, Mordi Bimol tersenarai dalam pentadbiran dalam usia 40 tahun.
Corak lantikan untuk menteri dan timbalan menteri sebelum ini seakan-akan memberi kelebihan kepada ahli politik senior ‘muka sama’ saja.
Dalam kes tertentu, negara pernah merekodkan beberapa nama yang menjadi wakil rakyat dan anggota kerajaan pada usia yang masih muda.
Datuk Seri Najib Tun Razak umpamanya, memenangi kerusi Parlimen Pekan tanpa bertanding pada 1976 ketika usia 22 tahun, paling muda di Malaysia ketika itu.
Khairy Jamaluddin juga dilantik menjadi ahli Parlimen ketika berusia 32 tahun serta Menteri Belia dan Sukan pada usia 37 tahun.
Selain itu, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad juga pernah dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada usia 32 tahun.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga mencatat nama sebagai menteri paling muda dalam sejarah negara pada usia 26 tahun.
Dalam senarai menteri dan timbalan menteri terkini, terdapat sekurang-kurangnya 18 orang Yang Berhormat berusia di bawah 50 tahun dan ia menjadi petanda positif kepada generasi muda untuk menceburi politik.
Politik semuanya serba mungkin dan pembabitan orang muda perlu untuk memberikan idea yang lebih segar.
Selain menjadikan struktur pentadbiran negara lebih seimbang, bukan sekadar hanya mengisi kuota semata-mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
