Terjun laut kerana ingkar PKP

Kesemua lelaki warga tempatan didapati melanggar PKP dengan melepak di pondok nelayan tadi.
Kesemua lelaki warga tempatan didapati melanggar PKP dengan melepak di pondok nelayan tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Gara-gara takut ditangkap polis, seorang lelaki sanggup menggadai nyawanya sendiri dengan terjun ke laut untuk melarikan diri dalam kejadian Jelutong, di sini petang tadi.

Lelaki tersebut bertindak melarikan diri selepas sepasukan polis yang menjalankan Ops Covid-19 menyerbu pondok nelayan di kawasan pesisiran pantai itu pada jam kira-kira 5.30 petang.

Bagaimanapun, polis berjaya menahan 13 lelaki lain yang turut berada di pondok tersebut kerana didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berkenaan dikatakan sedang melepak sambil minum bersama 13 rakannya, namun berjaya melarikan diri dengan terjun ke laut.

Seramai 13 lelaki dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.
Seramai 13 lelaki dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 70 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk siasatan lanjut.

"Ketika disoal semasa serbuan dilakukan, mereka didapati gagal memberi alasan munasabah melakukan pergerakan dan meninggalkan kediaman masing-masing.

"Salah seorang daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak membawa kad pengenalan ketika diperiksa," katanya ketika dihubungi tadi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tiga lelaki termasuk seorang warga Bangladesh ditahan kerana didapati melepak di kawasan parkir di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis, kira-kira jam 6.15 petang tadi.

Dua lelaki bersama seorang warga Bangladesh sedang disoal oleh pegawai polis dalam Ops Covid-19 tadi.
Dua lelaki bersama seorang warga Bangladesh sedang disoal oleh pegawai polis dalam Ops Covid-19 tadi.

Soffian berkata, ketika ditahan, kedua-dua lelaki tempatan berusia 21 itu memberi alasan sedang menunggu rakan yang tinggal di perumahan itu untuk mengambil komputer riba.

"Bagaimanapun selepas menunggu hampir 10 minit, rakan yang didakwa mereka tidak muncul. Mereka kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

"Semua kes disiasat menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020. Warga asing itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1963/59," katanya.