Mah Sing, KLK Land bangunkan taman perindustrian RM2.26 bilion di Kulai

(Dari kiri) Majlis menandatangani perjanjian disaksikan Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Datuk Sri Leong Hoy Kum dan Pengerusi Eksekutif Kuala Lumpur Kepong Berhad, Tan Sri Datuk Seri Lee Oi Hian (kanan)
(Dari kiri) Majlis menandatangani perjanjian disaksikan Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Datuk Sri Leong Hoy Kum dan Pengerusi Eksekutif Kuala Lumpur Kepong Berhad, Tan Sri Datuk Seri Lee Oi Hian (kanan)
A
A
A

MAH Sing Group Berhad (Mah Sing) dan KLK Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mengumumkan usaha sama strategik bagi memperoleh dan membangunkan 419.15 ekar tanah perindustrian pegangan bebas di Kulai, Johor yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Kerjasama tersebut bakal menyaksikan Mah Sing dan KLK Land membangunkan tanah berkenaan, yang diperoleh pada harga kira-kira RM274 juta, menjadi MS Industrial Park @ Kulai sebuah taman perindustrian terancang yang menyasarkan industri berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan.

Pembangunan projek ini akan dilaksanakan melalui struktur usaha sama dengan pegangan ekuiti 60 peratus oleh Mah Sing dan 40 peratus oleh KLK Land.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM2.26 bilion, projek ini dijangka menjadi hab perindustrian utama yang menyokong ekosistem perindustrian dan logistik Johor yang pesat berkembang.

Menurut kenyataan bersama, Mah Sing akan menerajui aspek perancangan, pembangunan dan pelaksanaan projek tersebut.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen Mah Sing dalam memperluaskan portfolio hartanah perindustriannya serta selari dengan Rancangan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030), sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab perindustrian dan logistik penting di Asia Tenggara,” katanya.

Projek ini juga meneruskan pengembangan strategik KLK Land dalam pembangunan perindustrian, susulan pelancaran terbaharu di Selangor dan Perak. Ia dijangka membuka nilai tanah perindustrian KLK secara berperingkat di kawasan Kulai.

Tapak pembangunan tersebut merupakan sebahagian daripada kira-kira 2,500 ekar tanah milik KLK Land di Kulai yang telah dikenal pasti untuk pembangunan berfasa di bawah pelan induk bandar perindustrian bersepadu, merangkumi komponen komersial dan kediaman.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Datuk Seri Leong Hoy Kum berkata, usaha sama strategik ini merupakan pencapaian penting bagi Mah Sing dalam memperluas penglibatannya dalam segmen perindustrian.

Artikel Berkaitan:

“Fokus Mah Sing adalah membangunkan platform perindustrian yang terintegrasi, menghimpunkan pemain industri utama, pembekal dan rakan rantaian nilai yang lebih luas.

“Industri berasaskan teknologi dan pertumbuhan tinggi seperti pusat data, logistik dan aktiviti perindustrian sokongan lain merupakan sebahagian daripada ekosistem ini. Matlamat utama kami ialah mewujudkan persekitaran perindustrian bersepadu yang mampu menjana nilai jangka panjang, menyokong transformasi industri negara dan mengukuhkan pertumbuhan mampan Mah Sing.

“Kami menantikan kerjasama erat dengan KLK untuk memastikan kejayaan usaha sama ini,” katanya.

Tambah beliau, Mah Sing telah membina kehadiran kukuh di Johor sejak bertahun-tahun menerusi pelancaran pelbagai projek perbandaran, termasuk Meridin East, iaitu pembangunan terbesar kumpulan itu di wilayah selatan, selain Sierra Perdana, Sri Pulai Perdana, Austin Perdana, serta taman perindustrian Mah Sing i-Parc.

“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kami turut memperoleh tanah bagi pembangunan kediaman bertingkat dan bertanah di Johor seperti M Grand Minori, M Minori, M Tiara, M Tiara II dan Tiara Hills.

“Johor kekal sebagai kawasan pertumbuhan strategik bagi Mah Sing berikutan kedudukannya berhampiran Singapura, tahap keterhubungan yang baik, serta inisiatif yang dipacu kerajaan seperti JS-SEZ dan projek Rapid Transit System (RTS) Link, menjadikannya destinasi pelaburan utama,” katanya.

Menurut beliau, projek perindustrian terbaharu ini selari dengan visi kumpulan untuk menyumbang kepada kebangkitan Johor sebagai kuasa perindustrian dan logistik serantau.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif KLK, Tan Sri Datuk Seri Lee Oi Hian berkata, kerjasama ini selari dengan strategi jangka panjang KLK Land untuk membuka potensi tanah miliknya di Kulai dan membina portfolio pembangunan perindustrian yang lebih kukuh.

“Melalui perkongsian dengan Mah Sing, kami dapat memulakan pembangunan fasa pertama secara strategik yang akan membuka laluan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar terancang induk seluas 2,500 ekar yang dirancang oleh KLK Land.

“Kami melihat Kulai dan JS-SEZ sebagai koridor pertumbuhan penting yang menyokong landskap perindustrian Johor yang sedang berkembang, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Mah Sing Group Berhad dan KLK Land Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik untuk memperoleh dan membangunkan 419.15 ekar tanah perindustrian di Kulai
  • Tanah yang diperoleh akan dibangunkan menjadi MS Industrial Park @ Kulai, dengan harga pembelian kira-kira RM274 juta
  • Pembagian pegangan ekuiti dalam usaha sama adalah 60% oleh Mah Sing dan 40% oleh KLK Land
  • GDV pembangunan dianggarkan sebanyak RM2.26 bilion, diharapkan menjadi hab perindustrian utama di Johor
  • Pembangunan adalah selaras dengan Rancangan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 dan memposisikan Johor sebagai hab perindustrian penting di Asia Tenggara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!