Sime Darby catat untung bersih RM2.06 Bilion TK2025

Jeffri Salim (tengah) di sidang media mengenai prestasi penuh tahun dan suku keempat TK2025 Sime Darby Berhad berakhir pada 30 Jun 2025.
Jeffri Salim (tengah) di sidang media mengenai prestasi penuh tahun dan suku keempat TK2025 Sime Darby Berhad berakhir pada 30 Jun 2025.
A
A
A

SIME Darby Berhad (Sime) mencatatkan untung bersih RM2.06 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (TK2025) sekali gus mengekalkan kedudukan kukuh meskipun berdepan cabaran pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, jumlah itu lebih rendah berbanding TK2024 kerana ketika itu syarikat merekodkan keuntungan luar biasa RM2 bilion hasil penjualan perniagaan penjagaan kesihatan yang tidak berulang pada tahun ini.

“Keputusan ini masih mencerminkan keupayaan syarikat untuk terus menjana keuntungan biarpun dalam keadaan pasaran yang mencabar.

“Untung bersih daripada operasi berterusan meningkat 63 peratus kepada RM2.05 bilion, sebahagian besarnya disokong oleh penggabungan UMW Holdings ke dalam Sime Darby dan keuntungan daripada penjualan tanah projek Malaysia Vision Valley (MVV Land),” katanya dalam sidang media di Menara Sime Darby di sini pada Rabu.

Tambahnya, tanpa mengambil kira keuntungan luar biasa, Sime Darby melaporkan untung bersih teras RM1.17 bilion bagi TK2025.

“Hasil kumpulan juga meningkat 4.4 peratus kepada RM70.1 bilion berbanding RM67.1 bilion pada TK2024.

“Di China, kami berdepan pertumbuhan lebih rendah berikutan persaingan sengit dalam sektor automotif,” jelasnya.

Menurut beliau, bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2025, untung bersih Sime Darby ialah RM762 juta, melonjak berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan ini dipacu keuntungan daripada jualan MVV Land, sumbangan lebih tinggi UMW dan kos pinjaman lebih rendah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas sama ada Sime Darby terkesan dengan kenaikan tarif import Amerika Syarikat, Jeffri Salim menjelaskan bahawa ia tidak begitu terjejas memandangkan sebahagian besar barangan yang digunakan diperoleh dari China.

“Kebanyakan mesin, kilang serta bahan yang digunakan di pasaran tempatan sebenarnya dihasilkan dan dibekalkan dari China.

“Malah sebahagian besar trak yang digunakan di Thailand juga datang dari negara itu. Justeru, kenaikan tarif import berkenaan tidak begitu memberi kesan besar kepada kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jeffri Salim berkongsi, jualan kenderaan elektrik (EV) di Singapura melonjak dan memberi manfaat kepada jenama BYD yang diwakili syarikat berkenaan.

“Anak syarikat Sime Darby, Tractors Malaysia yang menjadi pengedar peralatan Caterpillar turut mencatat keuntungan lebih tinggi hasil jualan alat ganti dengan margin besar serta projek pusat data.

“Biarpun unit perniagaan perindustrian Sime Darby di Australia dan New Zealand terkesan akibat harga alat ganti menurun serta dolar Australia yang lemah, rantau itu masih menjadi penyumbang terbesar kepada bahagian tersebut,” katanya.

Jelas beliau, Sime UMW pula terus menyumbang menerusi kekuatan jenama Perodua dan Toyota di Malaysia.

“Prestasi syarikat masih stabil dan menunjukkan kekuatan kumpulan ini biarpun berdepan pasaran yang mencabar.

“Kepelbagaian operasi di pelbagai negara juga membantu mengekalkan prestasi pada tahap yang baik,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!