Penduduk Kelantan siap sedia hadapi banjir gelombang kedua

KUALA KRAI – Tidak biasa berdepan banjir, seorang suri rumah di Kampung Manek Urai Lama di sini terpaksa tiga kali berulang-alik memindahkan perabot setiap kali hujan lebat sebelum rumahnya benar-benar dinaiki air semasa gelombang kedua banjir di negeri ini pada Jumaat.
Nurul Husna Che Hussain, 34, berkata sejak awal November lalu, dia mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali hujan berterusan selepas dimaklumkan oleh penduduk setempat bahawa paras air sungai semakin meningkat.
“Setiap kali hujan, orang kampung beritahu air sungai naik dan banjir boleh berlaku. Jadi, saya angkut barang dari rumah sewa ke rumah kawan sejauh kira-kira lima kilometer.
“Tapi setiap kali itu juga, air tidak masuk rumah, jadi saya bawa semula barang-barang berkenaan. Sampai tiga kali saya punggah,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Manek Urai di sini.
Nurul Husna baru berpindah ke kampung berkenaan pada Oktober lalu untuk tinggal lebih dekat dengan anak sulungnya yang bersekolah di daerah itu, selain tinggal berjauhan dengan suami yang bekerja sebagai pemandu lori di Selangor.

Menurutnya, kekalutan mula dirasai apabila hujan lebat selama empat hari menyebabkan paras air sungai meningkat sebelum air memasuki kawasan rumahnya sehingga paras 0.7 meter.
“Air naik cepat, dalam tempoh setengah jam dah masuk dalam rumah.
“Memang penat ulang-alik angkut barang, tapi dapat elak kerugian dan sekarang barangan saya selamat,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Siti Mariani Muhamad, 40, berkata dia juga bersiap sedia lebih awal dengan menyelamatkan barangan penting termasuk buku sekolah bagi tiga anak untuk sesi tahun depan yang telah dibungkus dalam plastik.
“Saya tinggal menyewa di tingkat atas rumah Nurul Husna. Kalau rumah dinaiki air, saya pun tak boleh keluar. Jadi, saya berpindah dan berlindung bersama anak-anak di PPS,” katanya.

Menurutnya, hujan lebat berlaku selama empat hari bermula Ahad dan berhenti pada Khamis serta tidak hujan pada Jumaat.
“Rumah kami di kawasan berbukit, tapi berada di laluan limpahan air Sungai Lebir. Hari ini walaupun tak hujan, air masih naik dengan laju,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Masliza Mamat, 48, berkata, dia berpindah bersama tiga ahli keluarga termasuk anak angkat lelaki autisme berusia 14 tahun selepas air memasuki rumah pada jam 9 malam, Khamis.
“Semasa gelombang pertama baru-baru ini, kawasan kami tidak banjir. Tapi tiap-tiap tahun memang akan banjir, jadi kena bersedia kerana hujan di hulu dan limpahan sungai.

“Sejak bulan lepas lagi saya sudah menyimpan barangan dan belum dibuka hingga sekarang,” katanya.
Menurut InfoBencanaJKM, banjir gelombang kedua di Kelantan bermula di Gua Musang dua hari lalu dengan hampir 150 mangsa di Mukim Paloh dipindahkan ke PPS.
Banjir di daerah itu bagaimanapun pulih, dan disusuli dengan kawasan terjejas di Mukim Manek Urai di sini yang membabitkan 74 mangsa ditempatkan di empat PPS.
Ringkasan AI
- Suri rumah di Kampung Manek Urai Lama terpaksa berulang-alik tiga kali memindahkan perabot setiap kali hujan lebat
- Nurul Husna Che Hussain berpindah ke kampung itu untuk tinggal lebih dekat dengan anak sulungnya
- Hujan lebat selama empat hari menyebabkan air sungai naik dan rumahnya dinaiki air hingga 0.7 meter
- Siti Mariani Muhamad, seorang peniaga, bersiap sedia lebih awal dengan menyelamatkan barangan penting
- Banjir gelombang kedua di Kelantan bermula di Gua Musang dengan hampir 150 mangsa dipindahkan ke PPS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

