Pahang siap sedia hadapi gelombang ketiga Monsun Timur Laut

Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SMK Bukit Rangin pada Jumaat.
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SMK Bukit Rangin pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Pahang berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi gelombang ketiga Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak berkuasa terus memantau keadaan bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

“Semalam (Khamis) sekitar jam 10 malam, saya sendiri mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bencana di peringkat negeri untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap agensi.

“Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan bersiap siaga dan persediaan telah dilakukan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini pada Jumaat.

Wan Rosdy menjelaskan bahawa persiapan menghadapi MTL bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia berlaku setiap tahun, sama ada dengan impak besar atau kecil.

Justeru tegasnya, kerajaan negeri terus berada dalam keadaan bersiap siaga dan berharap semua pihak, terutamanya mangsa banjir, mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Jika diarahkan berpindah, sila patuhi arahan tersebut. Kerjasama ini penting bagi memastikan keselamatan nyawa mereka terjamin,” katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan bahawa bilangan mangsa banjir di negeri ini semakin berkurangan apabila beberapa PPS mula ditutup, manakala ada juga PPS baharu dibuka.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, trend pemulihan ini dijangka akan berterusan, sekali gus membolehkan semua mangsa banjir pulang ke kediaman masing-masing.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Berdasarkan pertemuan saya dengan mangsa banjir, rata-rata melahirkan rasa syukur kepada ALLAH dan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana memantau dan menyediakan bantuan makanan serta tempat tinggal yang seadanya,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan tambahan Bantuan Wang Ihsan (BWI), Wan Rosdy berkata kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif tersebut.

“Timbalan Perdana Menteri sudah berjanji untuk membawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet. Kita tunggu keputusan selanjutnya,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Pahang bersiap siaga menghadapi gelombang ketiga Monsun Timur Laut
  • Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bencana di peringkat negeri
  • Persiapan menghadapi MTL adalah rutin tahunan, dengan persediaan sebaik mungkin dilakukan
  • Penduduk diminta mematuhi arahan pihak berkuasa, terutamanya mangsa banjir untuk keselamatan
  • Kemungkinan tambahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sedang dipertimbangkan, disokong oleh pemerintah negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!