Lelaki ceroboh ketika suri rumah jemur pakaian diberkas

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki yang dikesan menceroboh sebuah rumah ketika penghuni sedang menjemur pakaian di Bandar Perdana pada Selasa, diberkas tidak sampai 24 jam selepas video kejadian tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan pada jam 12.30 tengah malam di Taman Sidam Kiri, di sini pada Rabu.
Menurutnya, penahanan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di hadapan sebuah kedai makan di taman berkenaan.
“Kita telah menahan suspek dan merampas beberapa barangan untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan penganggur, positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Jelasnya, antara barangan yang dirampas termasuk telefon bimbit, pisau dan sebuah kereta yang disyaki digunakan suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan dan samun bersenjata.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila rumahnya diceroboh dalam kejadian kira-kira jam 7.35 pagi Selasa.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan sedang menjemur pakaian di halaman rumah sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam perbuatan lelaki tersebut dan kemudian tular di media sosial.
Dalam rakaman itu, kelihatan suspek datang dari luar sebelum melompat melalui tembok dan memasuki rumah berkenaan sebelum melarikan wang tunai serta telefon bimbit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

