'Air macam bertahan, tak mahu surut' - Penduduk

Kasim sedang mendayung bot selepas kawasan itu dinaiki air sedalam satu meter susulan hujan lebat beberapa hari lalu. Foto Sinar Harian
Kasim sedang mendayung bot selepas kawasan itu dinaiki air sedalam satu meter susulan hujan lebat beberapa hari lalu. Foto Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN – Meskipun hujan mulai reda, penduduk di Perkampungan Sungai Isap masih gusar apabila paras banjir tidak menunjukkan tanda surut.

Sinar Harian mendapati, penduduk di perkampungan itu kini sudah berada di pusat pemindahan sementara susulan air banjir setinggi kira-kira satu meter.

Mereka mendakwa, fenomena ‘air bertahan’ mungkin berpunca daripada pertembungan air pasang dan limpahan sungai hulu.

Bagaimanapun, pemeriksaan di Taman Perumahan Sungai Isap Damai mendapati air mulai surut dan keadaan kawasan itu sudah pulih seperti biasa.

Penduduk, Kassim Shaari, 65, berkata keadaan air yang tidak bergerak menyukarkan pergerakan, terutama bagi mereka yang tiada bot.

"Selalunya kalau air naik, cepat turun, tapi kali ini air besar dari Sungai Lembing bertembung dengan air pasang, mungkin pam tidak berfungsi.

Kasim menggunakan bot untuk berulang alik dari rumah di kampung Sungai Isap dinaiki air sejak Rabu. Foto Sinar Harian
Kasim menggunakan bot untuk berulang alik dari rumah di kampung Sungai Isap dinaiki air sejak Rabu. Foto Sinar Harian

"Hari ini cuaca baik tetapi air masih bertahan, kalau turun pun mungkin sikit sangat," katanya ketika ditemui di perkampungan itu pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada dua anak itu memberitahu, anak dan isterinya kini berada di PPS SMK Sungai Isap Murni, manakala dia memilih kekal di rumah.

"Sudah berpuluh tahun duduk sini, saya sudah tahu selok-belok air. Cuma kadang-kadang benda tidak dijangka macam tahun 2013," tambahnya.

Seorang lagi penduduk, Azizah Saari, 51, mengakui banjir kali ini luar biasa apabila mereka sekeluarga perlu berpindah ke PPS.

"Walaupun air masih belum memasuki rumah, bilik air di bawah langsung tidak boleh digunakan.

Azizah
Azizah

"Nak tak nak, kami kena berpindah juga sebab air naik luar biasa dan sudah paras pinggang," katanya.

Suri rumah, Noramira Abdul Wahab, 34, berkata, persiapan awal sudah dilakukan kerana kawasan perkampungannya setiap tahun dinaiki air.

"Air mula naik pagi Rabu. Bila sampai ke tangga dan beranda, kami terus keluar.

Walaupun rumah dibina tinggi namun kawasan tersebut dinaiki air sedalam satu meter sejak Rabu. Foto Sinar Harian
Walaupun rumah dibina tinggi namun kawasan tersebut dinaiki air sedalam satu meter sejak Rabu. Foto Sinar Harian

"Tidak mahu tunggu malam sebab susah nak bergerak dalam gelap, saya lihat air masih bertahan sehingga kini," ujarnya.

Dia berharap pihak berkaitan dapat memperbaiki atau menukar pam lama supaya air cepat surut dan masalah banjir tidak berulang.

"Kalau boleh, pam lama diperbaiki atau diganti supaya air terkawal dan penduduk tidak lagi berdepan kesukaran," tambahnya.

Ringkasan AI

  • Hujan mulai reda tetapi paras banjir di Perkampungan Sungai Isap tidak surut
  • Penduduk sudah berada di pusat pemindahan sementara kerana air setinggi satu meter
  • Fenomena 'air bertahan' disebabkan pertembungan air pasang dan limpahan sungai hulu
  • Kondisi di Taman Perumahan Sungai Isap Damai sudah pulih, air mulai surut
  • Penduduk harap pam lama diperbaiki atau diganti untuk mengelak masalah banjir berulang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!