Dua lelaki ditahan insiden pukul pemandu di Jalan Sungai Isap

Tangkap layar video tular yang memaparkan kejadian yang mencetuskan kekecohan sehingga menyebabkan cermin kereta dinaiki mangsa pecah. Foto kecil: Ashari
Tangkap layar video tular yang memaparkan kejadian yang mencetuskan kekecohan sehingga menyebabkan cermin kereta dinaiki mangsa pecah. Foto kecil: Ashari
A
A
A

KUANTAN – Polis menahan dua lelaki berhubung insiden sekumpulan penunggang motosikal dipercayai menyerang dua lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Wira di Jalan Sungai Isap, yang tular di media sosial pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu dari bilik gerakan polis, selain laporan dibuat oleh ahli keluarga selepas mangsa berusia lingkungan 30-an menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

“Susulan laporan itu, dua lelaki berusia 20-an ditahan sehari selepas kejadian dan kini direman selama empat hari.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan beberapa lagi suspek lain yang terlibat dan kita menjangkakan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Town Hall ‘Cegah Buli Sebelum Parah’ anjuran Polis Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Rabu.

Sebelum itu, tular satu rakaman video berdurasi dua minit 19 saat yang memaparkan kereta dinaiki mangsa melanggar seorang penunggang motosikal di persimpangan sebelum memecut meninggalkan lokasi, sementara penunggang yang terjatuh bangun semula.

Video lain pula menunjukkan sekumpulan lelaki mengelilingi kereta mangsa dan menyerangnya sebelum polis tiba untuk menenangkan keadaan.

Difahamkan, insiden itu berpunca daripada rasa tidak puas hati penunggang motosikal terhadap kejadian kecil yang berlaku sebelum itu.

Mengulas lanjut, Ashari berkata, kejadian bermula sekitar jam 2 pagi dan siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang rakan lelaki berada di dalam kereta di lampu isyarat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semasa memasuki persimpangan, kereta tersebut secara tidak sengaja melanggar seorang penunggang motosikal sebelum pemandu memecut meninggalkan lokasi.

“Sekumpulan penunggang motosikal kemudian mengejar kereta itu ketika mangsa memandu menuju ke tempat kerjanya, kurang lima kilometer dari lokasi kejadian.

“Mangsa memberitahu dia berhenti di bengkel dan keluar untuk menyelesaikan perkara secara baik, namun diserang oleh sekumpulan penunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya, mangsa mengalami patah tulang jari kelingking dan lebam di beberapa bahagian badan akibat dipukul menggunakan topi keledar dan kayu.

“Rakan mangsa tidak cedera kerana berada di dalam kereta sewaktu kejadian.

“Saya juga difahamkan mangsa kini telah dibenarkan keluar hospital,” tambahnya.

Beliau turut menafikan khabar angin bahawa mangsa memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!