Bantah terminal baharu, sokong TBS dan TBG kekal sebagai hab utama bas ekspres - Pembawa

SHAH ALAM – Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) menegaskan pendirian supaya Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) terus dikekalkan sebagai hab utama operasi bas ekspres negara serta tidak bersetuju dengan sebarang pertimbangan untuk meluluskan pembinaan terminal bas baharu di dalam bandar Kuala Lumpur atau kawasan sekitarnya.
Pembawa, dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa TBS dan TBG yang telah dibina oleh kerajaan dengan kos mencecah ratusan juta ringgit adalah mencukupi untuk menampung keseluruhan operasi bas ekspres dari Kuala Lumpur ke seluruh negara.
Menurut persatuan itu, kewujudan terminal baharu yang tidak dirancang secara bersepadu berisiko mengurangkan jumlah penumpang ke TBS dan TBG, sekali gus menjejaskan daya maju operasi kedua-dua terminal serta membawa kepada kegagalan pelaburan awam.
“Pembawa menyatakan sokongan penuh terhadap dasar kerajaan Malaysia yang menetapkan TBS dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) sebagai hab utama operasi bas ekspres.
“Sehubungan itu, Pembawa turut menyokong sepenuhnya kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak TBG pada 5 Disember 2025, yang menyatakan bantahan terhadap pemberian lesen pengendalian terminal bas kepada pengusaha kompleks membeli-belah dan hotel,” katanya.
Persatuan terbabit berpandangan bahawa pengoperasian terminal bas perlu kekal di bawah perancangan dan kawal selia kerajaan bagi mengelakkan sebarang keputusan yang boleh menjejaskan kelangsungan sistem pengangkutan awam negara.
Jelas Pembawa, sekiranya bas ekspres dibenarkan kembali beroperasi di terminal dalam bandar, kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur dijangka bertambah teruk dan berada pada tahap kritikal kerana waktu operasi puncak bas ekspres bertindan secara langsung dengan waktu puncak trafik bandar.
Menurutnya lagi, keadaan itu akan menyebabkan pertambahan mendadak jumlah kenderaan berat di jalan raya bandar, sekali gus memburukkan kesesakan lalu lintas, melambatkan pergerakan kenderaan persendirian dan pengangkutan awam, meningkatkan risiko kemalangan jalan raya serta menjejaskan kelancaran operasi bandar secara keseluruhan.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa situasi berkenaan jelas bercanggah dengan objektif asal penubuhan TBS yang diwujudkan bagi mengalihkan operasi bas ekspres keluar dari pusat bandar demi mengurangkan kesesakan, meningkatkan keselamatan jalan raya dan mempertingkat kecekapan sistem pengangkutan awam negara.
Katanya, semua pihak diseru agar menghormati dasar dan perancangan kerajaan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelestarian industri bas ekspres serta sistem pengangkutan awam negara terus terpelihara demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara yang mampan.
Ringkasan AI
- Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia menegaskan TBS dan TBG perlu dikekalkan sebagai hab utama operasi bas ekspres
- Pembinaan terminal bas baru di dalam bandar Kuala Lumpur atau kawasan sekitarnya ditentang
- Pembawa berpandangan pengoperasian terminal bas perlu kekal di bawah perancangan dan kawal selia kerajaan
- Pengendalian bas ekspres di terminal dalam bandar dijangka meningkatkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur
- Situasi ini bertentangan dengan objektif asal penubuhan TBS untuk mengurangkan kesesakan, meningkatkan keselamatan jalan raya dan mempertingkat kecekapan sistem pengangkutan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

