Langkawi bakal muncul sebagai hab pelancongan perubatan - Exco

Rundingan bersama beberapa pelabur sedang giat dilaksanakan bagi mempromosikan Langkawi sebagai lokasi pelancongan perubatan. Gambar kecil : Haim Hilman
Rundingan bersama beberapa pelabur sedang giat dilaksanakan bagi mempromosikan Langkawi sebagai lokasi pelancongan perubatan. Gambar kecil : Haim Hilman
A
A
A

JITRA - Kedah menyasarkan Langkawi sebagai hab baharu pelancongan perubatan dan kesihatan dengan membuka ruang lebih luas kepada pelabur tempatan dan antarabangsa meneroka sektor tersebut.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Haim Hilman Abdullah berkata, prospek terbesar sektor berkenaan adalah di Langkawi yang menjadi tumpuan pelancong antarabangsa.

Menurutnya, ia juga akan menjadi tarikan baharu pelancong dari serata dunia apabila industri berkonsepkan pelancongan perubatan dan kesihatan di pulau legenda itu dibangunkan dengan lengkap.

“Jika kita berjaya bangunkan industri pelancongan perubatan di Langkawi, ia bukan sahaja memberi wajah baharu kepada pulau pelancongan ini malah membolehkan pesakit mendapatkan rawatan sementara keluarga mereka bercuti dalam suasana kos sara hidup yang lebih rendah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Aurelius Frontier Jitra di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah.

Haim Hilman percaya prospek pelaburan di Langkawi lebih kompetitif berbanding di bandar-bandar besar dan ini masa terbaik untuk pelabur membangunkan sektor tersebut di Langkawi.

“Kedah mempunyai kelebihan strategik kerana bersempadan dengan Thailand yang boleh dimanfaatkan bagi menarik pesakit dari selatan negara jiran itu selain jaringan penerbangan antarabangsa pada masa hadapan menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

“Pemain industri sektor kesihatan boleh memilih untuk melabur sama ada di Langkawi atau di tanah besar seperti daerah Kulim, Kubang Pasu atau Alor Setar,” ujarnya.

Tambah beliau, sebelum ini kerajaan negeri telah mempromosikan Langkawi sebagai lokasi sesuai untuk pelancongan perubatan dan kesihatan, malah rundingan bersama beberapa pelabur sedang giat dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Ramai pelabur menunjukkan minat namun pandemik Covid-19 sebelum ini memberi kesan terhadap dasar pelaburan mereka. Kini, setelah kita pulih, inilah masa sesuai untuk syarikat-syarikat melihat kembali tawaran pelaburan dalam sektor kesihatan di Kedah,” jelasnya.

Sementara itu, Amir Firdaus berkata, pihaknya bercadang memperluaskan pelaburan kesihatan di Kedah dengan membina klinik pakar Aurelius Frontier di Langkawi dalam tempoh terdekat.

“Kami yakin dengan hala tuju pelaburan negeri selepas kejayaan membina Hospital Aurelius bernilai hampir RM300 juta di Alor Setar selain pembukaan klinik pakar di Jitra.

“Kejayaan tersebut banyak dipacu oleh faktor kemudahan urusan perniagaan dan sokongan kerajaan negeri. Kami memilih Kedah kerana yakin dengan dasar pelaburan di sini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!