MDEC, kerajaan Chungju City, Korea bekerjasama pacu tranformasi digital pertanian negara

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Kementerian Digital memeterai kerjasama strategik sulung bersama kerajaan Chungju City, Korea bagi mempercepat transformasi digital sektor pertanian menerusi pelaksanaan teknologi Digital AgTech berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Kerjasama itu merangkumi usaha memperkasa pembangunan petani digital, menangani isu keselamatan makanan negara serta merangsang pertumbuhan ekonomi digital, selaras dengan inisiatif AgTech Malaysia Digital (MD) yang diterajui MDEC.
MDEC dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif berkenaan turut menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai Negara AI menjelang 2030, dengan penggunaan AI sebagai pemangkin kepada peningkatan daya saing industri, kecekapan sistem makanan serta kualiti hidup rakyat.
Menurut MDEC, pertanian digital menjadi antara tonggak penting agenda tersebut kerana ia membolehkan pemantauan tepat, pengurusan ladang pintar serta pembinaan sistem makanan yang lebih berdaya tahan, sekali gus menyokong pertumbuhan produktiviti yang inklusif, mampan dan berskala.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, kerjasama rentas sempadan itu mencerminkan komitmen agensi berkenaan dalam menterjemahkan aspirasi AI negara kepada impak sebenar di peringkat sektor.
"Kerjasama pertama bersama kerajaan Chungju City, Korea ini membuktikan bagaimana perkongsian antarabangsa mampu mempercepat penggunaan AI dalam sektor pertanian.
"Selain itu, meningkatkan taraf hidup petani, mengukuhkan keselamatan makanan serta memperkukuh ekosistem agro-makanan negara melalui penggunaan teknologi digital,” katanya.
Kerjasama terbaharu itu dibangunkan berasaskan kejayaan inisiatif AgTech Digital kerajaan-ke-kerajaan (G2G) antara Malaysia dan Korea yang dilancarkan pada 2022, membabitkan Kementerian Digital, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan MDEC dari Malaysia, bersama-sama Kementerian Sains dan ICT (MSIT) serta National Information Society Agency (NIA) dari Korea.

Melalui inisiatif tersebut, tiga sistem Digital AgTech berasaskan AI berjaya dilaksanakan di Malaysia, iaitu Sistem Fertigasi Pintar AI, Sistem Pengairan Pintar AI dan Sistem Pengesanan Perosak AI, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam kerjasama teknologi pertanian digital dua hala.
Susulan penglibatan berterusan, kerajaan Chungju City bersama rakan ekosistem SimplyCare Bio dari Republik Korea dan Serunai Commerce Sdn Bhd dari Malaysia, sebuah syarikat berstatus Malaysia Digital (MD), memfokuskan kerjasama dalam bidang pemindahan teknologi, perkongsian pengetahuan AgTech, pendigitalan halal serta pengukuhan ekosistem digital rentas sempadan.
Komitmen itu dizahirkan menerusi pertukaran Surat Hasrat (LOI) antara MDEC dan Kerajaan Bandaraya Chungju sempena lawatan delegasi rasmi ke Malaysia yang diketuai Datuk Bandar Chungju, Cho Gil-Hyeong.
Selain itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara Serunai Commerce Sdn Bhd, SimplyCare Bio dan Kerajaan Bandaraya Chungju bagi memulakan kerjasama rentas sempadan dalam memperkasa pendigitalan halal, kesiapsiagaan pensijilan digital serta pembangunan rangka kerja digital yang dipercayai untuk produk berasaskan pertanian.
Transformasi digital sektor pertanian kekal sebagai keutamaan nasional di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara serta teras strategik Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Keempat Negara (MED4IRN).
MDEC menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan kementerian berkaitan, kerajaan negeri dan rakan antarabangsa seperti Republik Korea bagi memastikan pertumbuhan sektor pertanian yang inklusif, mampan dan berskala, selaras dengan agenda Transformasi Digital nasional serta pengembangan berterusan ekonomi digital negara.
Ringkasan AI
- MDEC dan kerajaan Chungju City, Korea menjalin kerjasama untuk mempercepat transformasi digital sektor pertanian dengan teknologi AgTech berbasis AI
- Kerjasama ini bertujuan memperkuat pembangunan petani digital, keselamatan makanan dan pertumbuhan ekonomi digital selaras dengan inisiatif AgTech Malaysia Digital
- Inisiatif ini menyokong aspirasi Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030 untuk meningkatkan daya saing industri dan kualiti hidup melalui AI
- Pertanian digital memungkinkan pemantauan tepat dan pengurusan ladang pintar, mendukung produktiviti yang inklusif, mampan dan berskala
- Kolaborasi ini memfokuskan pada pemindahan teknologi, perkongsian pengetahuan AgTech, pendigitalan halal dan pengukuhan ekosistem digital rentas sempadan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

