Kerjasama strategik HRD CORP, SPE perkasa pekerja sektor tenaga

SHAH ALAM - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Society of Petroleum Engineers (SPE) Asia Pacific menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyokong pembangunan pekerja sektor tenaga di Malaysia sebagai hab serantau untuk kepakaran teknikal dan inovasi.
Kerjasama bersejarah antara HRD Corp dan SPE Asia Pacific ini dirangka untuk memberi impak nyata kepada pekerja sektor tenaga negara dengan merapatkan jurang antara bakat tempatan, kepakaran bertaraf dunia serta kemahiran masa depan.
Kerjasama ini bukan sekadar untuk latihan semata-mata, malah membuka akses kepada rangkaian global, ilmu pengetahuan terkini serta peluang kerjaya yang berimpak tinggi yang akan memperkasakan profesional Malaysia untuk cemerlang dalam peralihan tenaga.

Di bawah kerjasama ini, HRD Corp dan SPE akan melatih, meningkatkan dan menambah kemahiran sekurang-kurangnya 500 jurutera dalam tempoh setahun, melalui program teknikal SPE Asia Pacific yang diiktiraf di peringkat global, bagi memastikan jurutera Malaysia dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan amalan industri terkini.
Bukan itu sahaja, ia membolehkan majikan berdaftar HRD Corp menyalurkan caruman levi terus kepada penyertaan dalam program SPE yang diiktiraf antarabangsa termasuk persidangan, bengkel dan acara, sekali gus menjadikan pembelajaran bertaraf dunia lebih mudah diakses oleh lebih banyak syarikat dan profesional.

Selain itu, ia bertujuan memperluas peluang bagi profesional Malaysia untuk berhubung dengan pakar antarabangsa, mendapat pendedahan kepada teknologi inovatif serta menyertai dialog industri berprofil tinggi yang akan memperkukuh daya saing mereka di peringkat global.
Inisiatif ini secara langsung menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), di samping memacu agenda nasional yang lebih luas dalam membina tenaga kerja berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi masa depan. Ia juga mengukuhkan peranan Malaysia dalam peralihan tenaga global, memastikan bakat tempatan benar-benar bersedia untuk berjaya dalam industri yang pesat berkembang.
Presiden SPE 2024, Terry Palisch, berkata, kerjasama ini adalah mengenai memperkasa insan.

“Dengan berganding bahu, HRD Corp dan SPE membuka laluan baharu untuk profesional Malaysia berhubung dengan kepakaran global, mempercepatkan perkembangan mereka seterusnya menyumbang secara bermakna kepada masa depan tenaga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan, menekankan bahawa MoU tersebut selari dengan misi HRD Corp untuk meningkatkan dan menambah kemahiran rakyat Malaysia, bagi memastikan tenaga kerja kekal berdaya saing, tangkas dan bersedia untuk masa depan.
“Majikan berdaftar HRD Corp kini boleh menyalurkan caruman levi mereka kepada latihan teknikal dan program yang diiktiraf antarabangsa, sekali gus memperluas peluang bagi profesional Malaysia untuk belajar, berkembang dan memimpin,” katanya.

MoU ini dimeterai sempena Persidangan dan Pameran Pengumpulan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon Asia Pasifik (APCC 2025) yang julung kali diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh kira-kira 700 peserta dari 25 negara.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Dr. Syed Alwi bin Mohamed Sultan dan Michelle Tan, Pengarah SPE Asia Pacific (M) Sdn Bhd.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Terry Palisch dan Pengarah Serantau SPE Asia Pacific, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Carigali merangkap Naib Presiden Kanan, Aset Malaysia, PETRONAS, Hazli Sham Kassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Malaysia Datuk Azman Mohd Yusof, Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp., Datuk Abu Huraira Abu Yazid.
Kedua-dua organisasi ini memperteguh komitmen mereka untuk memajukan ilmu pengetahuan, memupuk pembelajaran berterusan serta meletakkan Malaysia sebagai pusat serantau untuk bakat tenaga dan inovasi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.hrdcorp.gov.my dan www.spe.org.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
