RMK13: Kelantan terima 129 projek RP1 RM5.34 bilion

KOTA BHARU - Kelantan diperuntukkan sebanyak 129 projek baharu di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dengan anggaran kos RM5.34 bilion.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Kelantan, Datuk Ab. Pattah Hasbullah berkata, projek-projek itu melibatkan 18 kementerian.
“Pihak Kerajaan Negeri Kelantan telah menyelaras dan mengemukakan permohonan projek di bawah RP1 Tahun 2026 kepada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Ekonomi.
“Alhamulillah terdapat 129 projek baharu yang telah diluluskan kepada Kelantan di bawah RP1 RMK.
“Pihak kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk membantu setiap kementerian dan mana-mana pihak dalam menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan yang telah diluluskan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sesi Libat Urus RMK13 Peringkat Negeri Kelantan, anjuran bersama Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan, di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif INPUMA, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dan Pengarah UPEN, Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof.

Sesi libat urus merupakan sebahagian daripada kajian kendalian INPUMA untuk mengenal pasti isu dan masalah di peringkat akar umbi, sekali gus digunakan untuk menambah baik pelaksanaan RMK13 yang telah dilancarkan Julai lepas.
INPUMA telah mengadakan siri sesi libat urus awam dan Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) di seluruh negara.
“Program ini, saya difahamkan, telah membawa kejayaan yang amat memberangsangkan, dengan banyak saranan, pandangan dan syor, yang amat bernas, telah diutarakan oleh para peserta untuk perhatian dan tindakan pasukan kajian RMK13,” kata Ab. Pattah.
Beliau berkata, Rancangan Malaysia amatlah penting bagi kita untuk menyusun pelan pembangunan sama ada yang berbentuk fizikal mahupun bukan fizikal.
“Kemajuan yang kita capai setakat ini adalah hasil pelaksanaan Rancangan Malaysia secara berterusan dan secara tersusun.
“Walaupun sudah ada 12 Rancangan Malaysia, negara masih mempunyai banyak ruang pembangunan untuk dilaksanakan di seluruh negara, termasuk di Kelantan,” katanya.
Menurut beliau, sesi libat urus awam merupakan pendekatan yang amat baik, membina dan konstruktif dalam mendapatkan pandangan rakyat, yang dipercayai dan diyakini, secara langsung akan membantu pihak Kerajaan dalam mendapatkan sebanyak mungkin input daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Dalam hal ini, kami amat yakin bahawa kerjasama kedua-dua kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan membawa kemajuan berterusan dan berkekalan. Sesi ini merupakan peluang untuk menjalin kelestarian pembangunan,” kata beliau.
Dalam pada itu, Dr Anis berkata, pihaknya telah mengadakan program wacana di Sabah, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Johor, dan usaha itu akan diteruskan untuk mendapatkan input penambahbaikan RMK13 yang akan dilaksanakan mulai bulan depan.
“Setakat ini sambutan yang diberikan oleh rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, dewan perniagaan-dewan perniagaan, orang perseorangan, korporat dan swasta dan malah agensi kerajaan sepanjang sesi libat urus sangatlah baik.
“Kami akan menyediakan laporan kepada kerajaan, terutama Kementerian Ekonomi mengenai input, cadangan dan pandangan yang diterima,” kata beliau yang juga ketua projek kajian ini.
Ringkasan AI
- Kelantan diperuntukkan 129 projek baharu di bawah RP1 RMK13 dengan anggaran kos RM5.34 bilion
- Projek-projek itu melibatkan 18 kementerian
- Permohonan projek di bawah RP1 Tahun 2026 telah diselaras dan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan
- Sesi libat urus diadakan untuk mengenal pasti isu dan masalah di peringkat akar umbi
- Sesi libat urus merupakan pendekatan dalam mendapatkan pandangan rakyat untuk membantu pihak Kerajaan dalam pelaksanaan RMK13
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
