Seminggu ‘bertenang’, SPRM mahu teruskan rayuan kes Syed Saddiq

PUTRAJAYA – Selepas hampir seminggu diberi masa untuk bertenang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu bahawa, rayuan terhadap keputusan yang membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan diteruskan seperti dirancang.
Ia membabitkan pembebasan Syed Saddiq, 33, daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), tujuh tahun lalu.
Berdasarkan surat yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar, pendakwaan telah mendapatkan pandangan dan arahan Peguam Negara berhubung arahan Presiden Mahkamah Rayuan kepada pendakwaan dan pembelaan pada Jumaat minggu lalu.
“Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengarahkan rayuan ini diteruskan dan apa jua keputusan mahkamah hendaklah diterima.
“Sehubungan itu, perayu mengekalkan hujahan bertulis dan lisan yang dikemukakan dalam rayuan berkenaan,” katanya.
Dokumen itu berkata, segala pertimbangan, budi bicara dan kerjasama dalam perkara ini didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.
Sementara itu, ketika dihubungi Sinar Harian, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, mengesahkan perkara terbabit.
"Sudah tentu pendakwaan yakin dengan kekuatan kes kami memandangkan kedua-dua pihak telah berhujah berkenaan isu-isu penting bagi rayuan ini.
"Kami serahkan kepada kebijaksanaan panel Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan," katanya ketika ditanya sama ada pendakwaan masih yakin dengan kekuatan kes berkenaan.
Pada 12 Disember, tindakan panel tiga hakim tidak memberikan keputusan atau sekurang-kurangnya menetapkan tarikh baharu selepas mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu mencetuskan perhatian luar biasa masyarakat umum.
Lebih mengejutkan, mahkamah bukan sekadar menangguhkan keputusan, malah memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk ‘bertenang’.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais juga meminta pihak pendakwaan dan pembelaan merenung kembali hujahan yang difailkan.
Beliau yang bersidang bersama dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, pihak-pihak perlu bertenang dan meneliti semula hujahan masing-masing.
Beliau meminta, mereka berbincang sebelum memutuskan sama ada mahu meneruskan rayuan atau sebaliknya.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Menerusi penghakiman setebal 22 muka surat, mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya `tidak masuk akal’.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, pada 25 Jun lalu, anak jati Johor Bahru itu bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan serta hukuman itu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara menyatakan tindakan mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang, tidak boleh dikatakan melupuskan dana.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.
Ringkasan AI
- SPRM akan meneruskan rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq dari sabitan dan hukuman berkaitan dengan penyelewengan dana Armada
- Peguam Negara mengarahkan untuk meneruskan rayuan dan menerima apa jua keputusan mahkamah
- Pendakwaan yakin dengan kekuatan kes mereka dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Mahkamah Persekutuan
- Syed Saddiq dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta
- Syed Saddiq sebelum ini didakwa melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

