Jarum dan benang bawa rezeki





KUANTAN – Minat mengait sejak kecil menjadi titik tolak kepada seorang ibu tunggal menjana pendapatan tetap dari rumah dengan kemahiran kreatifnya telah berjaya menghasilkan pelbagai rekaan kraf tangan.
Noorhafizah Hamid, 46, berkata, kemahiran mengait dipelajari daripada arwah kakaknya sebelum diperkemas secara kendiri melalui YouTube, Pinterest dan rujukan rekaan pengait dari Arab Saudi, Indonesia serta Thailand.
Menurutnya, gabungan teknik yang dipelajari membolehkan beliau menghasilkan lebih 1,000 koleksi termasuk beg, kopiah, topi dan pelbagai aksesori.
"Minat mengait memang sudah lama, tetapi ia bermula secara serius ketika saya bekerja sebagai kerani di stesen minyak dan menggunakan masa terluang untuk menyiapkan koleksi pertama iaitu beg.
“Apabila ada yang berminat membeli, bekas suami mencadangkan supaya saya berhenti kerja dan fokus sepenuhnya pada kraf ini. Sejak itu, rezeki berterusan hingga kini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, setiap tempahan dimulakan dengan pemilihan pola sebelum menentukan jenis benang dan jarum yang sesuai.
Ujarnya, kebanyakan produk dihasilkan menggunakan jarum khas serta benang polypropylene yang lebih tahan lasak, manakala tempoh siap bergantung kepada jenis rekaan.
“Sebagai contoh, beg tangan mengambil masa antara satu hingga dua minggu, sarung botol dan kopiah sehari, manakala amigurumi sekitar dua hari.
“Padanan warna juga penting dan kebiasaannya pelanggan memilih sendiri kombinasi kegemaran mereka seperti merah dengan hitam, coklat atau hijau emerald,” katanya yang berasal dari Jengka 3, Maran.
Mengusahakan jenama Izariecraft Handmade, Noorhafizah mengakui pernah berdepan cabaran termasuk hasil kerja yang tidak menepati kehendak serta pengalaman ditipu pelanggan.
“Pernah saya terpaksa membuka semula beg yang sudah siap kerana hasilnya tidak cantik.
“Ada juga pelanggan yang tidak membuat bayaran selepas tempahan disiapkan, namun semua itu menjadi pengalaman berharga yang mematangkan saya,” katanya.
Selain menjual produk siap, Noorhafizah turut mengendalikan kelas kraf kait secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ) melalui Telegram dan Facebook, dengan penyertaan antara 50 hingga 100 peserta bagi setiap sesi.
Noorhafizah turut menyimpan hasrat membuka mini studio bagi membolehkan kelas bersemuka dijalankan, khususnya untuk membantu wanita dan belia menambah pendapatan dari rumah.
“Jika ada ruang sendiri, saya mahu berkongsi ilmu dan membuka peluang kepada lebih ramai untuk berdikari melalui kraf kait,” katanya.
Ringkasan AI
- Minat mengait sejak kecil bawa Noorhafizah Hamid menjana pendapatan dari rumah
- Kemahiran mengait dipelajari dari arwah kakak dan diperkemas dengan rujukan online
- Berhasil menghasilkan lebih 1,000 koleksi kraf tangan termasuk beg dan aksesori
- Menghadapi cabaran seperti hasil kerja tidak memuaskan dan pelanggan tidak bayar
- Mengendalikan kelas kraf kait secara online dan berhasrat membuka mini studio
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

