Budayakan antirasuah dari rumah

Nilai tersebut perlu diterapkan sejak kecil agar menjadi sebahagian keperibadian. Gambar kecil: Dr Shahrir Rizal.
Nilai tersebut perlu diterapkan sejak kecil agar menjadi sebahagian keperibadian. Gambar kecil: Dr Shahrir Rizal.
A
A
A

MEMBANGUNKAN masyarakat berintegriti dan bebas rasuah bukanlah usaha singkat. Ia merupakan proses panjang yang memerlukan pembudayaan nilai secara berterusan, bermula pada peringkat kanak-kanak.

Peribahasa Melayu 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' menggambarkan betapa penting pendidikan awal dalam membentuk karakter dan prinsip moral yang menjadi benteng terhadap amalan rasuah.

Ini penting bagi setiap individu yang melangkah ke alam kerjaya atau memegang tanggungjawab kepimpinan.

Integriti bukan sekadar konsep etika, tetapi cara hidup yang menuntut kejujuran, amanah, konsistensi dan kesediaan melakukan perkara yang betul walaupun tanpa pengawasan.

Nilai ini perlu diterapkan sejak kecil agar menjadi sebahagian keperibadian. Justeru, peranan keluarga dan sekolah dalam pendidikan awal ini sangat penting dan perlu digembleng secara optimum.

Jika kedua-duanya berfungsi dengan baik, akan lahirlah generasi berakhlak, beretika serta menjadi benteng bukan sahaja kepada amalan rasuah, malah amalan negatif lain.

Di sekolah, pendidikan awal bukan sekadar penyampaian kandungan akademik tetapi juga pembinaan akhlak pelajar. Melalui pendekatan akhlak merentasi kurikulum, nilai-nilai murni dan pembentukan akhlak disepadukan dalam semua mata pelajaran untuk melahirkan pelajar seimbang, berdaya saing dan berinsaniah selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pendekatan ini bukan sahaja dilaksanakan dalam bilik darjah, malah boleh diterapkan ketika aktiviti sukan di padang permainan. Pelajar dipupuk dengan semangat kesukanan yang menekankan permainan bersih serta kejujuran, bukannya menipu untuk menang.

Selain itu, penggunaan media kreatif seperti animasi, video pendek, modul digital serta aktiviti bilik darjah berasaskan teknologi boleh memperkukuh pengetahuan tentang integriti. Ini menjadikan pendidikan integriti dan antirasuah lebih dekat dengan dunia kanak-kanak dan mudah difahami.

Di rumah, pembudayaan nilai dipupuk dalam jiwa anak-anak sejak awal kelahiran, sebelum bermulanya pendidikan secara formal di sekolah. Sanubari anak-anak kecil mesti disemai ibu bapa dengan nilai agama sebagai panduan utama kehidupan.

Ibu bapa perlu mengelakkan tindakan yang memberi isyarat salah, contohnya seperti menawarkan ‘gula-gula’ untuk mendapatkan kemudahan. Anak-anak perlu diajar membezakan antara hadiah wajar dan perbuatan yang salah.

Ibu bapa juga perlu membimbing anak- anak menyelesaikan masalah secara jujur tanpa ‘jalan pintas’ atau menggunakan ‘helah’ dengan mengelak atau mengabaikan peraturan.

Peribahasa 'bagaimana acuan, begitulah kuihnya' membawa pengertian besar. Sifat dan tingkah laku anak lazimnya menyerupai ibu bapa dan orang yang mendidiknya. Justeru, ibu bapa malah guru sebagai insan yang paling hampir mestilah menjadi suri teladan terbaik.

Nilai integriti yang dipamerkan ibu bapa dan guru memberi mesej langsung kepada anak-anak bahawa kejujuran, amanah dan tanggungjawab bukan sahaja diajar, tetapi juga diamalkan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, peranan komuniti sangat penting dalam memperkukuh usaha ini. Kempen kesedaran setempat menekankan kepentingan integriti dan menolak amalan rasuah mestilah dilaksanakan berterusan.

Pembudayaan nilai integriti menuntut kerjasama semua pihak. Nilai yang dipupuk secara konsisten walaupun kecil, akhirnya membentuk individu mempunyai karakter teguh dan sebati dalam diri.

Sebagai kesimpulan, pembudayaan integriti perlu dimulakan seawal mungkin. Pendidikan awal merupakan medan amal strategik menanam nilai jujur, amanah dan menolak rasuah, seterusnya membentuk generasi berminda bersih dan mempunyai prinsip yang utuh.

Dengan sokongan keluarga, guru, komuniti dan sistem pendidikan berfokus kepada pembentukan sahsiah, Malaysia mampu melahirkan warga yang teguh mempertahankan nilai integriti.

*Dr Shahrir Rizal Kasjoo ialah Yang Dipertua IKRAM Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!