'Pengotor tak layak digelar pendaki' - Malim gunung

Sinar Kisah Rakyat pada Ahad memaparkan usaha Nik Muhammad Adib mendaki Bukit Panau untuk mengutip sampah dan botol minuman yang ditinggalkan pendaki. Gambar kecil: Wan Zonnum dan Mohd Najib.
Sinar Kisah Rakyat pada Ahad memaparkan usaha Nik Muhammad Adib mendaki Bukit Panau untuk mengutip sampah dan botol minuman yang ditinggalkan pendaki. Gambar kecil: Wan Zonnum dan Mohd Najib.
A
A
A

KOTA BHARU – Sikap segelintir pendaki yang membuang sampah di lokasi pendakian bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah tidak layak digelar pendaki sebenar, tegas komuniti malim gunung dan pendaki berpengalaman di Kelantan.

Malim gunung, Wan Zonnum Al-Masri Wan Abdul Aziz, 29, berkata, budaya masyarakat yang masih rendah tahap kesedaran terhadap kebersihan menyebabkan masalah pembuangan sampah terus berulang, walaupun papan tanda peringatan telah dipasang.

“Budaya orang kita ni, letak papan tanda pun sama juga. Kalau tiada kesedaran sendiri, sampah tetap dibuang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum itu, Sinar Kisah Rakyat memaparkan usaha seorang datuk kepada tiga cucu, Nik Muhammad Adib Nik Mustapa, 61, yang sanggup mendaki Bukit Panau, Tanah Merah setinggi 396 meter untuk mengutip sampah dan botol minuman yang ditinggalkan pendaki.

Usaha yang dilakukan sejak 2015 itu bertujuan memastikan laluan pendakian kekal bersih walaupun ribuan pengunjung datang menikmati keindahan ‘awan karpet’.

Pendaki diminta agar menjaga dan memastikan kawasan pendakian kekal bersih.
Pendaki diminta agar menjaga dan memastikan kawasan pendakian kekal bersih.

Wan Zonnum, yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Malim Gunung Kelantan, menyatakan bahawa dalam kalangan malim gunung, perbuatan membuang sampah ketika mendaki merupakan pantang larang utama.

“Pendakian gunung yang menggunakan khidmat pemandu arah biasanya lebih terjaga kerana ada penerangan awal, peringatan berkaitan kebersihan dan larangan membuang sampah merata-rata.

Artikel Berkaitan:

“Kalau berkhemah, sebelum turun kami akan periksa kawasan dan pastikan semua sampah dibawa balik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pendaki sepatutnya menjaga kawasan pendakian, bukan sekadar naik menikmati keindahan alam tetapi kemudian meninggalkan sampah.

“Naik tengok cantik, tapi tinggal sampah, itu bukan pendaki. Masyarakat sendiri kena ubah amalan,” katanya.

Wan Zonnum turut menyokong pelaksanaan caj atau tiket masuk ke lokasi pendakian sebagai langkah kawalan, dengan hasil kutipan digunakan khusus untuk kerja-kerja pembersihan.

“Kalau ada kos tiket dan kawalan, sekurang-kurangnya ada dana untuk urus kebersihan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pendaki berpengalaman, Mohd Najib Abdul Ghani @ Yakob berkata amalan membawa turun sampah sepatutnya menjadi budaya asas setiap pendaki.

“Kalau naik bawa barang 20 kilogram, turun pun kena bawa 20 kilogram atau lebih, termasuk sampah. Saya daki Bukit Kepang, Machang hampir setiap hari dan sentiasa bawa plastik,” katanya.

Menurutnya, masalah sama turut berlaku di Bukit Kepang, namun masih terkawal kerana jumlah pendaki tidak seramai di Bukit Panau.

Mohd Najib berkata, pengurusan ketat di gunung terkenal seperti Gunung Ledang di Johor dan Gunung Tahan di Pahang yang mengamalkan deposit kebersihan sebanyak RM20 boleh dijadikan contoh.

“Ada kawalan, ada peraturan. Kalau betul-betul kaki hiking, memang pantang tinggal sampah. Semua sampah akan dimasukkan dalam plastik dan dibawa turun,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan kes pembuangan sampah melibatkan individu yang mendaki secara suka-suka tanpa memahami etika pendakian.

“Biasanya yang tinggal sampah ni bukan pendaki sebenar. Naik suka-suka dan tinggal sampah pun suka-suka,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Sikap membuang sampah di lokasi pendakian mencemarkan alam sekitar dan ditegur komuniti malim gunung
  • Tahap kesedaran masyarakat terhadap kebersihan masih rendah menyebabkan masalah sampah berulang
  • Nik Muhammad Adib sanggup mendaki Bukit Panau untuk mengutip sampah demi memastikan laluan bersih
  • Malim gunung menganggap membuang sampah ketika mendaki sebagai pantang larang
  • Pendakian yang diiringi pemandu arah biasanya lebih terjaga daripada masalah pembuangan sampah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!