Pembersihan besar-besaran di sekitar Masjid Seri Petaling

Kakitangan DBKL dan Alam Flora melakukan pembersihan di sekitar Masjid Seri Petaling. - Foto FB Noor Hisham
Kakitangan DBKL dan Alam Flora melakukan pembersihan di sekitar Masjid Seri Petaling. - Foto FB Noor Hisham
A
A
A

PETALING JAYA - Pembersihan dan pembasmian kuman secara besar-besaran dilakukan di sekitar Masjid Seri Petaling di Sri Petaling di sini hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata, kerja-kerja pembersihan dilakukan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Syarikat pengurusan sampah, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).

"Kira-kira 100 kakitangan (DBKL) dan Alam Flora berada di lapangan dengan peralatan khusus untuk membersihkan kawasan itu.

"Pembersihan itu dilakukan berikutan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Sementara itu, ruangan komen Facebook Noor Hisham yang berkongsi perkembangan tersebut serta gambar kerja-kerja pembersihan dipenuhi dengan pujian pengguna laman sosial itu.

Ramai pemilik akaun laman sosial tersebut merakamkan terima kasih kepada Noor Hisham dan semua pihak yang terlibat secara langsung menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan kira-kira 16,000 peserta menyertai himpunan tabligh di Masjid Seri Petaling yang berlangsung antara 28 Februari hingga 2 Mac lalu membabitkan kira-kira 14,500 dipercayai rakyat Malaysia.

Ketika ini, jangkitan Covid-19 membabitkan peserta himpunan itu membentuk kluster terbesar di negara ini.

Artikel Berkaitan: