15 anggota tentera Thailand terbunuh dalam pertempuran sempadan dengan Kemboja

Sebuah rumah terbakar akibat serangan sementara anggota bomba menyembur air dan mengeluarkan tong gas dari kediaman yang hangus. Foto Reuters
Sebuah rumah terbakar akibat serangan sementara anggota bomba menyembur air dan mengeluarkan tong gas dari kediaman yang hangus. Foto Reuters
A
A
A

BANGKOK - Sekurang-kurangnya 15 anggota tentera Thailand terbunuh manakala 270 lagi cedera dalam pertempuran terbaharu di sempadan Thailand-Kemboja, menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri, dalam sidang media pada Sabtu.

Pertempuran yang bermula sejak 7 Disember itu menyaksikan kedua-dua negara saling menuduh antara satu sama lain sebagai pihak yang memulakan serangan.

Konflik ini tertumpu di kawasan sempadan yang dipertikaikan, termasuk wilayah Sisaket di Thailand dan Banteay Meanchey di Kemboja.

Menurut Surasant, Thailand telah menubuhkan 970 pusat perlindungan sementara yang kini menempatkan lebih 263,000 orang yang dipindahkan akibat pertempuran.

Beliau turut mengesahkan bahawa angka kematian dalam kalangan orang awam Thailand telah meningkat kepada tujuh.

Dalam kenyataan berasingan, Tentera Diraja Thailand (RTA) mendakwa bahawa tentera Kemboja telah melancarkan serangan ke atas kawasan awam di wilayah Sisaket, menyebabkan dua orang cedera parah.

Serangan itu berlaku ketika penduduk tempatan sedang bergegas ke tempat perlindungan selepas mendengar amaran serangan udara.

RTA mengecam keras tindakan ketenteraan Kemboja dan menyifatkannya sebagai serangan terhadap keselamatan rakyat awam.

Setakat ini, pihak Kemboja belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas terhadap dakwaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Kemboja dalam kenyataan media pada Sabtu mengumumkan penutupan semua pintu sempadan dengan Thailand sehingga diberitahu kelak.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut diambil sebagai tindak balas terhadap “tindakan pencerobohan” oleh Thailand yang didakwa telah menyebabkan kematian orang awam serta kerosakan infrastruktur dan kawasan kediaman.

Warga Kemboja yang kini berada dan bekerja di Thailand dinasihatkan untuk terus tinggal seperti biasa, manakala rakyat Thailand di Kemboja juga diminta kekal di negara itu sehingga satu gencatan senjata dicapai. - Awani

 

 

Ringkasan AI

  • Sekurang-kurangnya 15 anggota tentera Thailand terbunuh dan 270 cedera dalam pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja
  • Konflik bermula sejak 7 Disember, melibatkan wilayah Sisaket di Thailand dan Banteay Meanchey di Kemboja
  • Thailand menubuhkan 970 pusat perlindungan sementara untuk lebih 263,000 orang terjejas
  • Angka kematian dalam kalangan orang awam Thailand meningkat kepada tujuh
  • Kementerian Dalam Negeri Kemboja mengumumkan penutupan semua pintu sempadan dengan Thailand sebagai tindak balas terhadap tindakan pencerobohan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!