Kren runtuh: Dua pekerja dilaporkan kritikal

PONTIAN – Dua pekerja yang terselamat dalam insiden runtuhan dan kebakaran kren yang mengangkat arang batu di Loji Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Seorang lagi mangsa yang sebelum ini dirawat di Zon Kuning Hospital Pontian turut dirujuk ke HSA bagi menjalani pemeriksaan lanjut termasuk imbasan MRI.
“Salah seorang mangsa yang parah mengalami patah tulang rusuk yang terkeluar, menurut doktor pakar," katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Kecemasan Hospital Pontian pada Sabtu.
Jelas beliau, kesemua mangsa merupakan pekerja subkontraktor penyelenggaraan kren yang sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan jeti ketika kejadian runtuhan berlaku.
"Hasil kerjasama pihak penyelamat, PDRM, bomba dan pihak berkuasa Tanjung Bin mendapati siasatan awal menunjukkan staf kontraktor sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.
"Kawasan kejadian masih ditutup dan akan kekal ditutup sehingga siasatan pihak bomba selesai,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Dalam pada itu, seramai 15 anggota bomba, dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 petang.
Ringkasan AI
- Dua pekerja dalam keadaan kritikal selepas insiden runtuhan dan kebakaran kren di Loji Janakuasa Malakoff, Pontian
- Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut
- Seorang mangsa mengalami patah tulang rusuk yang terkeluar
- Pekerja tersebut adalah pekerja subkontraktor yang menjalankan kerja penyelenggaraan
- Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian, kawasan kecelakaan ditutup sementara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

