Kerosakan hutan dilakukan oleh masyarakat bukan perusahaan - Gabenor Lampung

Rahmat Mirzani Djausal Foto Agensi
Rahmat Mirzani Djausal Foto Agensi
A
A
A

LAMPUNG – Gabenor Lampung, Rahmat Mirzani Djausal, menegaskan bahawa kerosakan hutan di wilayah itu berpunca daripada aktiviti masyarakat setempat dan bukannya melibatkan syarikat.

Menurut beliau, kerajaan wilayah telah mengeluarkan surat imbauan melalui Jabatan Perhutanan Provinsi Lampung bagi meminta orang awam menghentikan sementara semua aktiviti penebangan pokok, termasuk di tanah milik persendirian.

“Hari ini saya telah mengeluarkan surat melalui Jabatan Perhutanan untuk mengimbau masyarakat supaya tidak meneruskan penebangan pokok buat sementara waktu, walaupun di atas tanah persendirian,” katanya ketika ditemui media pada Isnin.

Beliau menjelaskan, situasi tersebut menjadi titik tolak kepada usaha mempercepatkan agenda pemulihan hutan melalui program penanaman semula, khususnya di kawasan hutan lindung yang terjejas teruk.

“Kejadian seperti ini memberi semangat kepada kami untuk mempercepatkan pelaksanaan program penanaman semula, terutamanya di kawasan hutan lindung,” katanya.

Rahmat Mirzani turut memaklumkan bahawa beliau telah turun padang sejak Februari lalu bagi meneliti data serta menilai tahap kerosakan hutan di seluruh wilayah Lampung.

“Berdasarkan pemerhatian di lapangan dan data yang diperoleh, sebahagian besar kawasan hutan telah diceroboh oleh masyarakat dan bukan melibatkan syarikat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan aktiviti pembalakan haram di kawasan Sahbardong, Pugung Penengahan, Daerah Pesisir Utara, Kabupaten Pesisir Barat.

Rakaman tersebut menunjukkan beberapa individu menggunakan gergaji mesin untuk menebang pokok besar, dengan kayu balak disusun kemas di kawasan berbukit yang telah menjadi gondol. Kayu berkenaan dikenal pasti sebagai kayu minyak, spesies yang dilindungi.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi rakaman turut memaparkan penggunaan jentera berat jenis ekskavator yang dipercayai digunakan bagi membuka laluan ke lokasi pembalakan, yang terletak berpuluh kilometer dari jalan utama, sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan. - Agensi

Ringkasan AI

  • Gabenor Lampung menegaskan kerosakan hutan disebabkan aktiviti masyarakat bukan syarikat
  • Kerajaan wilayah mengeluarkan surat imbauan untuk hentikan aktiviti penebangan sementara
  • Program penanaman semula dipercepatkan khususnya di kawasan hutan lindung yang terjejas
  • Rahmat Mirzani telah meneliti data dan menilai tahap kerosakan hutan sejak Februari
  • Video tular memaparkan aktiviti pembalakan haram termasuk penggunaan ekskavator untuk membuka laluan ke lokasi pembalakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!