Pikul guni masuk hutan taktik seludup dadah di sempadan

ALOR SETAR – Penyeludupan dadah menggunakan guni yang dipikul sejauh kira-kira empat kilometer melalui hutan Durian Burung, Padang Terap, terbongkar apabila seorang lelaki warga asing ditahan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek ditahan bersama sembilan guni mengandungi 331 bungkusan dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai hampir RM11 juta.
Menurutnya, taktik terbaharu penyeludupan itu dikesan menggunakan laluan hutan dengan sanggup berjalan kaki memikul guni berisi dadah merentasi sempadan Malaysia–Thailand, kononnya bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Bagaimanapun, seorang lelaki warga Thailand berusia 37 tahun ditahan sepasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika operasi khas di kawasan hutan berkenaan pada jam 4.30 pagi, 9 Disember lalu, setelah menyedari ada pergerakan mencurigakan.
“Kita dimaklumkan rakan suspek lain berada kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian untuk memantau pergerakan pasukan keselamatan. Apabila suspek ditahan, yang lain terus melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Ahad.
Hadir sama, Panglima 6 Briged, Markas Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman.
Menurut Adzli, dadah berkenaan dibungkus dalam peket plastik berlabel durian beku kering serta racun tikus yang dipercayai digunakan sebagai penyamaran, kononnya barangan import dari negara jiran.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terdapat lapan lagi rakan subahat, namun kesemua mereka melarikan diri sebaik lelaki terbabit ditahan.
Adzli berkata, sindiket dipercayai akan menyerahkan dadah berkenaan kepada pihak pengangkut tempatan sebelum dipasarkan, dengan destinasi akhir di Lembah Klang.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan dan menahan semua suspek yang terlibat,” katanya.
Menurutnya, setiap individu yang terlibat dijanjikan upah sebanyak RM2,600 bagi membawa masuk dadah berkenaan ke negara ini dengan cara memikul menggunakan guni.
Adzli berkata, hasil siasatan mendapati walaupun suspek mempunyai pas sempadan, dia ditahan kerana berada di laluan tidak sah.
"Sindiket ini dipercayai berpangkalan di negara jiran dan beroperasi sejak dua bulan lalu," katanya.
Tambah beiau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ringkasan AI
- Penyeludupan dadah melalui hutan Durian Burung terbongkar, warga asing ditahan
- Sembilan guni syabu bernilai hampir RM11 juta disita
- Dadah diseludup merentasi sempadan Malaysia-Thailand melalui laluan hutan
- Suspek dan rakan subahat menggunakan pelbagai penyamaran termasuk label durian beku
- Operasi sindiket antarabangsa, polis bekerjasama dengan Thailand untuk menangkap suspek lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

