PKR Temerloh bantah tuntutan pengiktirafan UEC

KUANTAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Temerloh membantah tuntutan dikemukakan Penasihat DAP, Lim Guan Eng kepada kerajaan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ketua Penerangannya, Abdullah Hakim Ahmad berkata, tuntutan tersebut bukan sahaja tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, ia berpotensi menggugat asas perpaduan nasional yang telah sekian lama dibina atas dasar persefahaman dan toleransi antara kaum.
Kata Abdullah Hakim, sebagai sebuah negara majmuk berteraskan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan, sebarang dasar pendidikan mestilah berpaksikan kepada sistem pendidikan kebangsaan yang menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan alat perpaduan utama rakyat Malaysia.

"Pengiktirafan UEC secara menyeluruh tanpa penyesuaian kepada sistem kebangsaan akan mewujudkan jurang yang lebih besar dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
"Justeru, kami menyokong penuh kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak sebarang tuntutan yang bersifat perkauman dan tidak mencerminkan kepentingan nasional," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Abdullah Hakim berkata, PKR Temerloh berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri dalam mempertahankan asas kenegaraan.
"Kami menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha yang cuba mencabar kedudukan Bahasa Melayu, sistem pendidikan kebangsaan dan prinsip-prinsip asas Perlembagaan.
"Kami menyeru semua pihak, khususnya dalam kerajaan Perpaduan agar lebih berhati-hati dalam mengemukakan tuntutan yang boleh mencetuskan keresahan rakyat dan menggugat keharmonian negara," ujarnya.
Ringkasan AI
- PKR Temerloh membantah tuntutan Lim Guan Eng berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)
- Tuntutan tersebut dilihat sebagai ancaman kepada perpaduan nasional dan tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan
- Sebarang dasar pendidikan harus menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan alat perpaduan
- Pengiktirafan UEC tanpa penyesuaian akan mewujudkan jurang dalam kalangan rakyat terutamanya generasi muda
- PKR Temerloh menyokong kenyataan Perdana Menteri menolak tuntutan berunsur perkauman dan menyeru Kerajaan Perpaduan lebih berhati-hati
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

