Ambulans bukan dalam kecemasan - Polis Melaka

MELAKA - Polis Melaka menjelaskan, rakaman video tular memaparkan tindakan anggota trafik didakwa menahan trafik termasuk sebuah ambulans bagi memberi laluan kepada konvoi kenderaan kenamaan seperti yang tersebar di media sosial sejak Khamis.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkairi Mukhtar berkata, kejadian itu berlaku ketika anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sedang melaksanakan tugas mengiringi Delegasi China – Pelabur Insentif.
Ia membabitkan 18 bas dari Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pintu Gerbang Ayer Keroh bagi tujuan promosi pelancongan negeri.
Menurut beliau, insiden itu berlaku pada Khamis kira-kira jam 10.30 pagi di Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Taming Sari, ketika anggota trafik membuat kawalan lalu lintas untuk memastikan kelancaran pergerakan konvoi.
“Anggota JSPT menahan kenderaan dari arah pusat bandar walaupun lampu isyarat berwarna hijau dan membunyikan siren polis, bukan siren ambulans bagi memberi laluan kepada konvoi,” katanya dalam kenyataan.

Dzulkairi berkata, ketika kawalan dilakukan, anggota trafik melihat sebuah van ambulans Bulan Sabit Merah di lorong kanan dengan lampu beacon merah biru terpasang namun tanpa siren dan lampu kecemasan.
“Ambulans itu beratur di lorong kanan seperti kenderaan lain. Anggota membuat penilaian bahawa ambulans tersebut tidak dalam keadaan kecemasan.
“Penilaian dibuat atas justifikasi sekiranya ambulans tersebut dalam keadaan kecemasan akan melalui lorong kiri dengan membunyikan siren di lokasi untuk meminta diberikan laluan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata, selepas bas terakhir konvoi melepasi lokasi, anggota bertugas meninggalkan kawasan dan mendapati ambulans berkenaan masih berada di lorong kanan tanpa bergerak serta tidak mengaktifkan siren, bercanggah dengan dakwaan video tular.
Terdahulu, video berdurasi 51 saat tular menunjukkan seorang anggota trafik menghentikan beberapa kenderaan termasuk sebuah ambulans untuk memberi laluan kepada konvoi VIP.
Ia sekali gus menimbulkan pertikaian dalam pengguna media sosial mengenai dakwaan ambulans yang dalam kecemasan turut ditahan.
Ringkasan AI
- Polis Melaka menjelaskan tindakan anggota trafik yang menahan trafik termasuk sebuah ambulans bagi memberi laluan kepada konvoi Delegasi China untuk promosi pelancongan
- Kejadian berlaku ketika anggota trafik membuat kawalan lalu lintas di Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Taming Sari untuk memastikan kelancaran pergerakan konvoi
- Anggota trafik menahan kenderaan dari arah pusat bandar dan membunyikan siren polis bagi memberi laluan kepada konvoi
- Anggota trafik menilai ambulans yang berada di lorong kanan tidak dalam keadaan kecemasan kerana tidak mengaktifkan siren dan lampu kecemasan
- Selepas konvoi berlalu, anggota bertugas meninggalkan kawasan dan mendapati ambulans masih berada di lorong kanan tanpa bergerak dan tidak mengaktifkan siren
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

