Video tular: Pembangkang persoal ‘double standard’ isu ahli politik masuk sekolah


IPOH - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menuntut penjelasan rasmi kerajaan negeri susulan penularan sebuah video memaparkan kehadiran pemimpin parti kerajaan ke sebuah sekolah di Ayer Tawar, Beruas, bulan lalu.
Ketua pembangkang, Razman Zakaria berkata, video berdurasi satu minit 24 saat itu mengundang perhatian warganet kerana bercanggah dengan pematuhan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang jelas tidak membenarkan kehadiran ahli politik ke institusi pendidikan.
Menurutnya, pembangkang sentiasa mematuhi pekeliling berkenaan termasuk tidak memasuki sekolah walaupun untuk program rutin seperti penyerahan sumbangan, mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bacaan Yasin atau sambutan Hari Guru.
“Ada pekeliling KPM yang menghalang ahli politik masuk ke kawasan sekolah. Kami pembangkang patuh, sampai ada yang jadi Pengerusi PIBG pun hanya bantu dari luar pagar. Hantar kek untuk Hari Guru pun setakat pintu pagar sahaja.
“Tapi di pihak kerajaan, ada pula yang boleh masuk sampai berkempen politik. Di mana pemantauan pekeliling ini? Atau hanya terpakai kepada pembangkang sahaja?,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sidang DUN Perak di sini pada Khamis.
Razman berkata, jika benar hanya wakil rakyat kerajaan dibenarkan berada di sekolah, kerajaan perlu menyatakan perkara itu secara jelas dan terbuka.
Katanya, dalam sesi perbahasan pada Rabu, pihaknya sudah menimbulkan perkara itu dalam dewan dan meminta penjelasan daripada Menteri Besar serta wakil KPM.
“Kita tunggu jawapan. Jika tiada, kita akan buat laporan polis untuk memastikan tindakan diambil,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Akmal Kamarudin menyifatkan isu berkenaan bukan soal larangan tetapi ketidakadilan dalam pelaksanaannya.
“Kalau benarkan masuk, buat pekeliling baharu dan kami pun boleh masuk. Kami pun wakil rakyat, ada nilai baik yang boleh dikongsi dengan murid, tetapi kalau tak boleh, jangan pilih kasih. Pelaksanaan mesti adil,” katanya.
Ringkasan AI
- Pembangkang DUN Perak meminta penjelasan dari kerajaan negeri tentang pemimpin parti kerajaan yang kunjungi sekolah
- Video tular menunjukkan pemimpin parti kerajaan di sekolah bercanggah dengan pekeliling KPM yang larang kehadiran politikus di institusi pendidikan
- Pembangkang patuh pekeliling, tak masuki sekolah walaupun untuk aktiviti rutin
- Razman Zakaria tanya tentang pemantauan pekeliling, menyatakan ketidakadilan jika hanya pembangkang yang dilarang
- ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin anggap isu ini sebagai ketidakadilan dalam pelaksanaan, desak pekeliling baru agar semua wakil rakyat boleh masuk sekolah secara adil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

