Makanan halal: Hati, minda dan akhlak anak terjaga

UMAT Islam percaya makanan halal yang disuap kepada anak akan memberikan keberkatan dalam hidupnya. Foto Canva
UMAT Islam percaya makanan halal yang disuap kepada anak akan memberikan keberkatan dalam hidupnya. Foto Canva
A
A
A

PEMILIHAN makanan untuk bayi bukan sekadar untuk keperluan kesihatan, malah ia merupakan amanah kerohanian yang sangat besar dalam Islam.

Apa sahaja makanan yang masuk ke dalam tubuh anak akan menjadi sebahagian daripada darah dagingnya, sekali gus mempengaruhi hati, akhlak dan pembentukan dirinya pada masa hadapan.

Pendakwah, Ustaz Wan Afiq Afifi W. Azhar Lotfi menjelaskan, Islam bukan sahaja menyeru umatnya untuk beribadah dan menjaga akhlak, tetapi juga menekankan pemilihan sumber pemakanan yang halal dan baik atau halalan toyyiba lebih-lebih lagi untuk bayi yang sedang membesar.

USTAZ WAN AFIQ AFIFI
USTAZ WAN AFIQ AFIFI

“Sejak dahulu lagi para ulama sering mengingatkan bahawa makanan halal memberi kesan langsung kepada kebersihan hati.

“Bayi yang dibesarkan dengan sumber makanan yang halal, insya-ALLAH membesar dengan jiwa yang tenang, lembut dan mudah menerima kebaikan.

“Sebaliknya makanan yang haram atau syubhah boleh mengeraskan hati serta menjejaskan perkembangan spiritual seseorang. Ia bukan sekadar soal hukum, tetapi juga berkaitan dengan pembentukan sahsiah dan identiti Muslim,” hurainya ketika ditemui Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Kesan makanan kepada anak

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, apa yang disuapkan kepada anak setiap hari memberi kesan terhadap akhlak dan spiritual mereka berdasarkan sumber makanan tersebut.

“Oleh sebab itu, Islam mementingkan makanan halal untuk diambil setiap hari.

“Apabila anak dipelihara dengan rezeki yang halal, kesannya boleh dilihat pada jiwanya yang lebih mudah menerima nasihat, akalnya lebih cergas dan bersih, akhlaknya lebih halus dan terkawal serta hatinya lebih dekat dengan nilai-nilai kebaikan,” jelasnya.

Inilah keberkatan yang ALLAH SWT janjikan kepada ibu bapa yang menjaga pemakanan anak-anak mereka, ujarnya.

Menyambung hujahnya, al-Quran dan hadis secara jelas memberi amaran mengenai kesan buruk makanan haram terhadap hati manusia, termasuk bayi.

ALLAH berfirman dalam ayat ke-88 Surah al-Maidah: “Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan ALLAH kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik.”

ANAK yang makan makanan halal akan tumbuh membesar dengan akhlak yang baik. Foto Canva
ANAK yang makan makanan halal akan tumbuh membesar dengan akhlak yang baik. Foto Canva

“Lebih kuat lagi, ada sepotong hadis sahih riwayat Imam Muslim menceritakan seorang lelaki yang berdoa dalam keadaan penuh kesusahan, tetapi doanya tidak dimakbulkan kerana sumber makanannya adalah haram.

“Baginda SAW menegaskan, bagaimana ALLAH SWT ingin memperkenankan doa seseorang yang dibesarkan dengan sumber yang haram?

“Hadis ini jelas menunjukkan bahawa makanan bukan sekadar mengenyangkan, tetapi mempengaruhi hubungan seseorang dengan ALLAH SWT,” ujarnya.

Jaminan kebersihan, keselamatan

Jelasnya, dalam konteks moden sekarang, produk atau makanan halal yang mempunyai sijil atau logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ia bukan sahaja merangkumi aspek syariah, tetapi juga standard keselamatan makanan.

“Produk makanan buat bayi, kawalan kebersihannya lebih ketat, pemeriksaan bahan mentah yang bebas alkohol, najis dan bahan berbahaya serta pemantauan piawaian pemakanan yang tinggi.

“Ini memberi jaminan bahawa makanan bukan sahaja suci, tetapi benar-benar selamat untuk bayi,” ujarnya.

PENTING untuk memastikan makanan yang halal diberikan kepada anak dalam membentuk peribadinya. Foto Canva
PENTING untuk memastikan makanan yang halal diberikan kepada anak dalam membentuk peribadinya. Foto Canva

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh itu menasihatkan kepada ibu bapa bahawa halal bukan sekadar logo, bahkan ia penentu kepada keberkatan rezeki anak, kesucian hati dan jiwa, pembentukan akhlak dan peribadi serta masa depan spritual mereka.

“Makanan haram bukan setakat berdosa di sisi Islam, bahkan ia berpotensi memberi kesan gelap jangka panjang kepada hati dan tingkah laku seseorang.

“Bayi merupakan amanah ALLAH. Maka setiap suapan makanan yang halal adalah sebahagian daripada tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan mereka membesar sebagai insan yang baik, lembut hati dan dekat dengan-NYA,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Pemilihan makanan untuk bayi dalam Islam adalah amanah kerohanian yang besar Makanan halal penting untuk pembentukan darah daging, hati, akhlak dan diri anak Makanan halal membantu membina jiwa yang tenang, lembut dan mudah menerima kebaikan pada bayi Kesan makanan haram boleh mengeraskan hati dan menjejaskan perkembangan spiritual Produk makanan halal dengan sijil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merangkumi aspek syariah dan standard keselamatan makanan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!