Sijil halal lambang integriti, kualiti dan kepercayaan

DATUK DR NOOH (dua dari kanan) bersama Amirul Syafiq (dua dari kiri), Ustaz Mohd Taufik (kanan) dan Gyutae Kim (kiri) pada Majlis Perasmian Sijil Halal Kyochon di Johor Bahru baru-baru ini.
DATUK DR NOOH (dua dari kanan) bersama Amirul Syafiq (dua dari kiri), Ustaz Mohd Taufik (kanan) dan Gyutae Kim (kiri) pada Majlis Perasmian Sijil Halal Kyochon di Johor Bahru baru-baru ini.
A
A
A

PENSIJILAN halal bukan sekadar satu simbol pematuhan terhadap ajaran agama Islam, bahkan kini ia menjadi lambang integriti, kualiti dan kepercayaan dalam industri makanan.

Perkara tersebut diungkapkan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Dr Nooh Gadut pada Majlis Perasmian Pensijilan Halal Kyochon yang diadakan di Aeon Mall Tebrau City, Johor Bahru baru-baru ini.

Menurut beliau, ia turut melambangkan satu signifikan kepada perkembangan industri halal tempatan yang semakin mendapat tempat di hati orang ramai termasuk bukan Islam.

“Keyakinan dan kepercayaan terhadap sijil halal sangat tinggi dalam masyarakat sekarang termasuk golongan bukan Islam.

“Oleh sebab itu boleh dikatakan bahawa sijil halal kita ini bukan setakat halal, ia berkualiti, bersih, selamat dan jauh daripada kemudaratan,” jelasnya.

Tambahnya, bagi umat Islam, jika mereka makan makanan haram, kesannya dapat dilihat dalam kehidupan apabila hati menjadi 'gelap' kerana tidak mendapat hidayah ALLAH SWT dan hilang keberkatan dalam hidup.

DR NOOH
DR NOOH

Ujarnya, kejayaan restoran atau syarikat memperoleh sijil halal membuktikan komitmen tinggi pihak pengurusan dalam memastikan setiap aspek operasi mematuhi piawaian halal yang ditetapkan pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Artikel Berkaitan:

“Ia bukan sekadar pengiktirafan formal, malah ia mencerminkan usaha berterusan semua pihak yang terlibat dalam menjaga integriti produk, kualiti makanan serta kepercayaan pelanggan yang datang daripada pelbagai latar belakang.

“Dalam konteks semasa, pelanggan kini semakin peka dan menitikberatkan status halal sesuatu produk.

“Tafsiran halal hari ini melangkaui soal bahan mentah semata-mata, malah ia merangkumi aspek kebersihan, keterjaminan rantaian bekalan, kaedah penyediaan, kawalan bahan bahan kimia yang selamat serta penekanan terhadap makanan yang sihat dan berkualiti,” jelasnya.

Tambah Dr Nooh, nilai-nilai itulah yang menjadikan konsep halal relevan dan diyakini semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama atau budaya.

Halal sebagai gaya hidup

Bekas Mufti Johor itu menjelaskan, industri halal turut membawa mesej pendidikan dan dakwah apabila ia difahami sebagai satu gaya hidup yang menitikberatkan kesejahteraan, keselamatan dan tanggungjawab sosial.

“Justeru, usaha memperkukuhkan pemahaman masyarakat terhadap industri halal wajar diteruskan.

“Ia bukan sahaja dari sudut pensijilan dan operasi, tetapi juga kesedaran menyeluruh mengenai nilai yang dibawa oleh konsep halal itu sendiri,” jelasnya.

HIDANGAN yang mempunyai sijil halal kini semakin mendapat kepercayaan tinggi daripada pelanggan.
HIDANGAN yang mempunyai sijil halal kini semakin mendapat kepercayaan tinggi daripada pelanggan.

Kejayaan memperoleh sijil halal juga menunjukkan komitmen, disiplin dan dedikasi tinggi syarikat dalam mematuhi keperluan halal, ujarnya.

“Ia merupakan hasil kerja berpasukan yang konsisten melibatkan pematuhan prosedur operasi, kawalan kebersihan, pengurusan rantaian bekalan serta pemantauan rapi di setiap peringkat.

“Sesungguhnya pensijilan halal ini bukanlah pencapaian sekali lalu, tetapi ia satu proses berterusan yang menuntut pemantauan berkala, latihan kakitangan secara konsisten serta penambahbaikan berterusan agar piawaian yang ditetapkan sentiasa dipatuhi,” hurainya.

Beliau berharap pengiktirafan sijil halal Jakim ini meningkatkan lagi keyakinan pelanggan serta menyumpang kepada kejayaan berterusan pada masa akan datang.

“Diharap juga kejayaan ini menjadi contoh dan inspirasi kepada penggiat industri lain untuk mengutamakan kualiti, tanggungjawab dan kecemerlangan dalam membangunkan ekosistem halal negara,” katanya.

DR NOOH menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pensijilan Halal Kyochon di hadapan kira-kira 50 tetamu jemputan.
DR NOOH menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pensijilan Halal Kyochon di hadapan kira-kira 50 tetamu jemputan.

RAHSIAlelaki umur panjang berusia 125 tahun

1 – Jaga hubungan dengan ALLAH SWT (Hablum minallah)

Dia sangat menjaga ibadahnya dengan ALLAH SWT terutamanya dalam bab solat. Oleh sebab itu pekerja Islam mesti menjaga solat walaupun sibuk dalam urusan restoran.

2 – Jaga hubungan dengan manusia (Hablum minannas)

Lelaki ini sentiasa menjaga hubungan baiknya dengan manusia sekelilingnya dengan menunaikan hak sepatutnya. Dalam konteks perniagaan dan kerja pula, zakat amat penting kerana kekayaan yang diberikan ALLAH SWT ialah milik-NYA dan DIA mahu kita infakkan rezeki yang dianugerahkan itu.

3 – Pastikan hanya mengambil makanan halal

Lelaki ini sangat menjaga pemakanan terutamanya dalam bab halal. Dia tidak akan masuk ke dalam rumah melainkan membawa makanan halal kepada diri dan ahli keluarganya.

4 – Banyakkan memberi menjadi budaya hidup

Menurut lelaki berusia 125 tahun ini, amalan yang turut dijaga adalah banyakkan memberi kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf, fakir miskin, anak-anak yatim dan sebagainya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!