Wanita mengaku bersalah berkelakuan tidak senonoh di balai polis

KULIM – Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh di Balai Polis Sungai Kob dalam kejadian Jumaat lalu.
Tertuduh, Nur Aini Mohd Noor, 32, turut membuat pengakuan bersalah bagi dua lagi pertuduhan berasingan iaitu sengaja menyebabkan cedera terhadap seorang anggota polis serta melakukan kebinasaan terhadap cermin pintu kaunter aduan balai berkenaan.
Bagaimanapun, Majistret Nur Hamizah Mat Shah belum menjatuhkan hukuman selepas tertuduh tidak mengakui fakta kes meskipun ia telah dibacakan kali kedua.
Tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak menumbuk mangsa seperti dinyatakan dalam fakta kes.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata kesat, menumbuk muka seorang anggota lelaki sehingga menyebabkan kecederaan tisu lembut pada bahagian kiri muka serta menendang pintu kaunter aduan hingga pecah, kira-kira jam 3.30 petang.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama, memperuntukkan denda tidak melebihi RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan berasingan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Lans Koperal Muhammad Irfan Md Shukri pada masa dan hari sama, mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa dengan niat hendak menyebabkan kerugian kepada harta milik Balai Polis Sungai Kob iaitu kebinasaan kepada cermin pintu kaunter aduan pada jam 3.45 petang hari sama, mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, R Jayasri manakala tertuduh diwakili peguam, Kiren Ram.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi semua pertuduhan selain syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Mac depan.
Ringkasan AI
- Seorang wanita mengaku bersalah atas berkelakuan tidak senonoh di Balai Polis Sungai Kob
- Tertuduh juga mengaku bersalah sengaja menyebabkan cedera dan melakukan kebinasaan terhadap cermin kaunter aduan
- Mahkamah belum menjatuhkan hukuman kerana tertuduh tidak mengakui fakta kes
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 332 dan Seksyen 426 Kanun Keseksaan
- Tertuduh diikat jamin RM4,000 dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 30 Mac
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

