Pembangunan Dasar Halal Negara dijangka siap Mei ini - Fadillah

FADILLAH (tengah) bergambar kenangan pada Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (IHEC) 2026 di Bangi baru-baru ini. Foto Bernama
FADILLAH (tengah) bergambar kenangan pada Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (IHEC) 2026 di Bangi baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

PEMBANGUNAN Dasar Halal Negara (DHN) kini pada fasa akhir dan dijangka siap pada Mei ini, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Berucap merasmikan Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (IHEC) 2026 di Bangi, Fadillah berkata, kerajaan bersetuju membangunkan DHN bagi memastikan hala tuju halal Malaysia lebih jelas dan mampan.

"Dasar ini akan menjadi panduan strategik bagi membina ekosistem halal yang inklusif, terancang dan mampan tanpa menjejaskan kuasa pensijilan sedia ada di bawah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Jakim komited memperkasakan ekosistem halal negara melalui DHN 2025-2035 untuk mengekalkan Malaysia sebagai peneraju halal global.

Inisiatif itu merangkumi pengukuhan piawaian, penguatkuasaan dan pembangunan Pelan Tindakan 2025-2030 bagi memastikan industri halal negara lebih holistik.

Bagi merealisasikan fasa seterusnya pembangunan industri halal, Malaysia komited untuk memperkukuh pelaksanaan secara terusun, berfokus dan berimpak tinggi dalam tiga bidang keutamaan merangkumi pemerkasaan laluan pensijilan perusahaan kecil dan sederhana (PKS); penambahbaikan sistem pensijilan dan pengiktirafan bersama serta pengukuhan kluster halal.

Beliau berkata, usaha itu membolehkan Malaysia berdiri teguh sebagai peneraju industri halal global yang berintegriti dan berdaya saing.

Fadillah berkata, industri halal memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara dengan menyumbang 7.94 peratus atau RM118.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga suku ketiga 2025.

Pencapaian itu disokong oleh peningkatan bilangan pengeksport halal berdaftar yang kini mencecah 1,525 syarikat, sekali gus mencerminkan daya saing dan potensi besar industri halal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Mengenai IHEC 2026, Fadillah berkata penganjuran persidangan itu amat signifikan sebagai sebuah platform penting untuk membincang dan merangka hala tuju masa depan ekonomi halal secara menyeluruh dan bersepadu.

"Saya amat mengharapkan dapat dikongsikan segala pandangan termasuk juga penambaikan sistem sedia ada, bagaimana kita hendak mengembangkan ‘the whole value chain’ atau pun ekosistem berhubung kait dengan ekonomi halal untuk negara kita.

"Insya-Allah saya akan kongsikan bersama Datuk Seri Ahmad Zahid (Timbalan Perdana Menteri) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Perkasa Pensijilan, Industri Halal Negara,” katanya. -Bernama

Ringkasan AI

  • Dasar Halal Negara dijangka siap pada Mei ini
  • Kerajaan bersetuju membangunkan Dasar Halal Negara untuk panduan strategik ekosistem halal
  • Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri akan mempertahankan kuasa pensijilan sedia ada
  • Inisiatif termasuk pengukuhan piawaian, pembangunan Pelan Tindakan 2025-2030 untuk industri halal lebih holistik
  • Industri halal menyumbang 7.94 peratus ke KDNK dengan 1,525 syarikat pengeksport halal berdaftar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!