Suap makanan halal sejak bayi
Red Saffron hasilkan makanan bayi halal jenama Anas, penuhi permintaan ibu bapa Muslim

DALAM suasana dunia moden yang penuh dengan pilihan makanan, semakin ramai ibu bapa terutamanya Muslim mula memberi perhatian serius terhadap status halal makanan bayi mereka.
Bagi ibu bapa, penting untuk memberikan produk makanan halal sejak anak kecil lagi agar manfaat makanan dapat dihadam selain proses pembuatan yang dijaga bersih serta rapi.
Bahkan bagi umat Islam, selain halal, bersih dan suci, aspek lain yang turut diambil kira ialah keberkatan daripada makanan tersebut yang akan menjadi darah daging anak mereka kelak.
Bagi memahami realiti industri ini, Sinar Islam Plus berpeluang menemu bual Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Red Saffron Sdn Bhd (Red Saffron), Wan Atif Akram W. Azhar Lotfi yang merupakan salah seorang pelopor makanan bayi halal dalam negara.

Menurut beliau, idea untuk mengeluarkan produk makanan bayi iaitu bubur nasi jenama Anas Supermeal for Superbabies timbul pada tahun 2021 selepas dia melihat kekurangan produk tersebut dalam pasaran terutamanya dalam kalangan usahawan tempatan.
“Sejak dari itu, kami buat kajian pasaran dan kami dapati banyak makanan bayi ini diimport dari luar negara terutamanya makanan berbentuk puri.
“Jadi kami rasa ia satu tanggungjawab untuk menghasilkan makanan bayi ini untuk manfaat bayi dan ibu bapa sekali gus meningkatkan ekonomi negara,” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di Sepang, Selangor baru-baru ini.
Dilancarkan Julai, disahkan halal Disember
Ujarnya, selepas banyak proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan pelbagai pihak, akhirnya Red Saffron berjaya melancarkan bubur nasi pada Julai 2024.
“Bubur nasi ini tidak dicampurkan dengan gula atau garam, tidak diletakkan perisa, pewarna dan pengawet tambahan selain ia mesra pengguna dan mudah dibawa.
“Ia tidak perlu dimasak, dan boleh terus disuap kepada bayi berusia tujuh bulan ke atas. Jika mahu bubur suam, boleh direndam seketika dalam air panas,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Atif Akram menjelaskan, syarikatnya tidak menoleh ke belakang lagi apabila mula memohon sijil Good Manufacturing Practise (GMP) dan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) untuk memastikan produk keluarannya selamat di pasaran.
Ujarnya, selepas mendapat GMP dan HACCP, beliau kemudiannya meneruskan langkah ke hadapan dengan memohon pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Selepas enam bulan dilancarkan, pada Disember 2024, pihaknya bersyukur apabila bubur bayi Anas disahkan halal. Baginya, proses untuk mendapatkan sijil halal tidaklah sukar kerana syarikatnya mengambil masa kira-kira tiga bulan.

Katanya, dengan kursus latihan halal di bawah Melaka Industrial Skills Development & Entrepreneurship Center (MISDEC) dan bimbingan halal daripada Halal2u Maybank Islamic, proses tersebut menjadi lebih mudah.
Logo halal tarik kepercayaan pelanggan
Beliau sememangnya mahu semua produk di bawah syarikatnya mendapat sijil halal Jakim memandangkan logo tersebut memberi maksud pelanggan lebih percaya kepada sesuatu produk yang dikeluarkan.
“Customer trust itulah yang akan menaikkan lagi jualan dan di Malaysia ini majoriti pengguna merupakan umat Islam.
“Antara lain, ia lebih mudah untuk dieksport ke pasaran luar dan kami sedang dalam perancangan untuk memasarkan bubur nasi Anas ini ke pasaran ASEAN terlebih dahulu dalam masa satu atau dua tahun lagi,” ujar beliau.
Jelasnya, Red Saffron turut merancang untuk mengeluarkan produk baharu yang juga makanan bayi iaitu biskut bayi dan pihaknya kini sedang dalam proses penyelidikan untuk menjayakannya.

Nasihatnya, sangat penting untuk usahawan Muslim mendapatkan sijil halal bagi menjamin statul halal ramuan dan prosesnya selain menjamin kebolehpasaran produk tersebut.
“Rata-rata pengguna di Malaysia mementingkan logo halal dan mereka akan beralih kepada produk lain jika produk kita tiada logo halal," jelasnya.
Ringkasan AI
- Semakin ramai ibu bapa Muslim memberi perhatian kepada status halal makanan bayi Penting bagi mereka untuk memberi anak makanan halal sejak kecil untuk manfaat kesihatan dan kebersihan Wan Atif Akram W. Azhar Lotfi dari Red Saffron Sdn Bhd melancarkan bubur nasi Anas Supermeal untuk bayi pada tahun 2021 Bubur nasi Anas dilancarkan pada Julai dan mendapat pengesahan halal pada Disember tahun yang sama Pengesahan halal penting untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dan memudahkan ekspor ke pasaran luar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

