Rasa Korea kekal sedap dan halal

Amirul Syafiq beri keyakinan tinggi kepada pelanggan apabila semua menu Kyochon disahkan halal

SEBAHAGIAN tetamu dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi diraikan dalam majlis tersebut.
SEBAHAGIAN tetamu dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi diraikan dalam majlis tersebut.
A
A
A

FENOMENA menikmati makanan Korea Selatan bukanlah suatu yang asing sekarang seiring dengan pengaruh besar melalui K-drama dan muzik K-Pop.

Hidangan seperti ayam goreng Korea, japchae dan tteokbokki merupakan antara sebahagian daripada menu kegemaran ramai termasuk di Malaysia.

Namun bagi umat Islam, keterujaan tersebut sering terhenti pada satu persoalan yang besar iaitu apakah makanan ini halal?

Menurut Pengarah Urusan SBS Samida Sdn Bhd, Amirul Syafiq Azidin, soalan sama turut bermain di mindanya setiap kali mahu menjamah makanan dari Korea itu.

Beliau melihat hidangan Korea ini sangat digemari rakyat negara ini, namun status halal makanan tersebut tidak dapat dipastikan, lebih-lebih lagi ia berasal dari negara bukan Islam.

AMIRUL SYAFIQ
AMIRUL SYAFIQ

“Hasrat saya mahu melihat masyarakat kita terutamanya Muslim menikmati hidangan antarabangsa dari Korea ini tanpa ada keraguan.

“Kalau makan di Korea, memang banyak yang tidak halal atas pelbagai faktor termasuk cara penyembelihan dan penyediaannya yang menggunakan alkohol dalam masakan,” jelasnya ketika ditemui Sinar Islam Plus.

Artikel Berkaitan:

Oleh sebab itu katanya, beliau membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Kyochon Sdn Bhd (Kyochon) dengan membuka premis makanan di Aeon Mall Tebrau City pada November dua tahun lalu.

Bersedia ke arah halal sejak awal

“Bermula daripada pembukaan premis, kami telah bersedia ke arah untuk mendapatkan sijil halal. Semua bahan utama dan lain-lain, kami peroleh daripada pembekal tempatan yang mempunyai sijil halal.

“Bagi konsistensi rempah dan sos, ia dibawa dari dapur berpusat Kyochon yang telah disahkan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Selepas tiga bulan beroperasi, beliau terus melengkapkan keperluan lain seperti dokumen berkaitan dalam usaha memohon sijil halal.

“Staf saya setiap hari menjawab soalan-soalan sama daripada orang ramai yang berkunjung ke premis kami bertanyakan status halal.

“Selagi logo halal yang sah daripada Jakim belum diperoleh dan dipamerkan, itulah soalan-soalan yang kami perlu hadapi,” ceritanya.

Ujarnya, permohonan untuk mendapatkan sijil halal Jakim tidaklah sukar jika pengusaha itu menyediakan segala keperluan yang ditetapkan.

“Bagi saya, tidak susah untuk mendapatkan sijil halal ini. Asalkan dia ada keazaman tinggi, semua cabaran di hadapan pasti dapat ditempuhi.

DATUK DR NOOH menurunkan tandatangan merasmikan restoran Kyochon yang mendapat sijil halal di Aeon Mall Tebrau City, Johor Bahru baru-baru ini.
DATUK DR NOOH menurunkan tandatangan merasmikan restoran Kyochon yang mendapat sijil halal di Aeon Mall Tebrau City, Johor Bahru baru-baru ini.

“Akhirnya kami boleh menarik nafas lega apabila memperoleh sijil halal pada November tahun lalu selepas genap setahun beroperasi,” katanya.

Peningkatan jualan hingga 30 peratus

Ketika ditanya mengenai kurangnya bilangan pengusaha Muslim yang memohon sijil halal berbanding bukan Islam, beliau menyatakan pandangan bahawa kurangnya kesedaran daripada pengusaha itu untuk maju ke hadapan.

"Akan berlaku peningkatan jualan apabila pengusaha memperoleh sijil halal dan kebiasaannya orang kita kita lebih selesa dengan keadaannya sekarang.

"Maka muncullah alasan susah untuk mendapatkan sijil halal, namun hakikatnya jika lengkap permohonan, perkara tersebut mudah sahaja," katanya.

Tambah Amirul Syafiq, selepas berjaya memperoleh sijil halal dan logo halal dipamerkan di restorannya, beliau melihat peningkatan jualan sekitar 25 hingga 30 peratus direkodkan.

“Ini membuktikan tahap keprihatinan masyarakat terhadap isu halal tinggi termasuk dalam kalangan bukan Muslim dan pelancong dari Singapura.

“Tanggungjawab selepas ini lebih besar iaitu untuk mengekalkan rasa Korea yang halal kerana ia satu amanah, selain tanggungjawab sosial seperti menjaga status halal dan membayar zakat perniagaan.

LOGO halal kini dipaparkan di hadapan Kyochon selepas premis disahkan halal oleh Jakim.
LOGO halal kini dipaparkan di hadapan Kyochon selepas premis disahkan halal oleh Jakim.

“Inilah jihad ekonomi yang memberi manfaat bukan sahaja kepada syarikat, tetapi kepada ummah dan masyarakat seluruhnya,” jelasnya.

Majlis Perasmian Pensijilan Halal Kyochon disempurnakan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Dr Nooh Gadut yang turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Ustaz Mohd Taufik Shamsuddin dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Kyochon, Gyutae Kim.

Kira-kira 20 orang anak-anak yatim dan lima guru dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi serta 30 tetamu diraikan pada majlis itu.

Ringkasan AI

  • Fenomena makanan Korea Selatan menjadi popular di Malaysia disebabkan pengaruh K-drama dan muzik K-Pop
  • Umat Islam di Malaysia kerap ragu tentang status halal makanan Korea
  • Amirul Syafiq Azidin, Pengarah Urusan SBS Samida Sdn Bhd bekerjasama dengan Kyochon untuk membuka restoran halal di Aeon Mall Tebrau City
  • Restoran tersebut telah bersedia mendapatkan sijil halal dari Jakim sejak pembukaan dengan menggunakan bahan tempatan bersijil halal
  • Selepas memperoleh sijil halal, jualan restoran meningkat antara 25 hingga 30 peratus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!