Rezeki halal hidup jadi berkat

UMAT Islam dituntut supaya bekerja bersungguh-sungguh dan memastikan rezeki yang diperoleh datang dari sumber yang halal.
Rezeki yang halal merupakan punca ketenangan hati dan keberkatan hidup, manakala pendapatan yang diperoleh dengan cara menipu, cuai atau menyalahgunakan kuasa akan menghapuskan keberkatan selain mengundang kemurkaan ALLAH SWT.
Iktibar Mimbar Jumaat kali ini mengupas mengenai khutbah Jumaat bertajuk Rezeki halal hidup berkat yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kedua-dua kaki seorang hamba ALLAH tidak akan berganjak (pada hari kiamat) sehinggalah dia ditanya mengenai lima perkara; tentang kehidupannya dan bagaimana dia menjalaninya; tentang ilmunya dan bagaimana dia beramal dengannya; tentang hartanya dan dari mana dia memperolehinya serta ke mana dia membelanjakannya; dan tentang tubuh badannya dan untuk apa dia menggunakannya sehingga dia menjadi lemah.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Jakim pada permulaan khutbah mengingatkan umat Islam agar sentiasa berhati-hati dalam mencari rezeki, berdasarkan kepada hadis berkenaan.
“Biarlah sedikit tetapi halal, berbanding banyak tapi mengundang dosa dan kemurkaan ALLAH SWT,” katanya.

Meneruskan hujah, Jakim mengajak semua umat Islam untuk menanam tekad dan keazaman yang kukuh dalam diri untuk berkhidmat dengan penuh kejujuran serta dedikasi demi masa depan negara yang sejahtera.
“Setiap pekerjaan yang kita lakukan baik bekerja di sektor swasta dan perkhidmatan awam, mahupun bekerja sendiri, ia bukan sekadar tuntutan dunia, tetapi merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT kelak.
“Ingatlah bahawa ALLAH SWT sentiasa melihat segala amal perbuatan kita,” ujarnya sambil membacakan ayat ke-105 surah at-Taubah.
Rasulullah SAW turut bersabda berkaitan dengan hal pekerjaan: “Sesungguhnya ALLAH kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan yang dibuat secara tekun.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)
Maka, bekerjalah dengan hati yang ikhlas dan bukan kerana gaji semata-mata, tetapi kerana amanah.
Hasilnya, apabila setiap orang menunaikan tanggungjawab dengan jujur dan penuh dedikasi, negara akan makmur dan masyarakat akan hidup dalam keberkatan, ujar khatib lagi.
Jangan lalai didik keluarga
Bagaimanapun menurut Jakim, dalam kesibukan mencari rezeki halal, umat Islam janganlah sesekali lalai terhadap kebajikan dan didikan keluarga.

“Anak-anak merupakan amanah besar daripada ALLAH SWT yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
“Penekanan terhadap aspek ilmu agama, nilai dan moral mesti diperkasakan kerana perkara tersebut merupakan asas sebenar pembentukan insan berakhlak.
“Paling utama ialah penekanan terhadap ibadah solat fardu kerana itulah benteng sahsiah yang dijamin ALLAH SWT,” jelasnya.
Isu sosial landa pelajar
Khatib kemudian menyampaikan, pelbagai isu sosial melanda umat Islam terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah kebelakangan ini.
“Kita harus mengakui bahawa ia semakin membimbangkan terutama ketagihan gajet yang melampau, pengaruh budaya hedonisme dan penularan bahan pornografi menjadi antara punca utama keruntuhan akhlak.
“Tanpa bimbingan agama yang kukuh dan pengawasan rapi daripada ibu bapa serta pendidik, anak-anak akan mudah terperangkap dalam gejala tidak bermoral yang merosakkan jiwa dan masa depan mereka,” hurainya.
Oleh itu katanya, langkah tegas dan bersepadu perlu dilaksanakan segera dan bukan sekadar kempen sementara sahaja, namun perlu usaha berterusan dalam membina benteng iman, memperkukuhkan nilai serta membentuk akhlak yang selari dengan tuntutan ajaran Islam.

“Marilah kita semua sentiasa mengambil perhatian serius untuk berganding bahu memelihara generasi hari ini daripada kegelapan moral dan kekosongan jiwa.
“Sesungguhnya masyarakat yang beriman, berakhlak dan saling prihatin merupakan benteng sebenar kepada kesejahteraan keluarga, ummah dan negara,” ujar khatib.
Pesanan Jakim dalam usaha mencari rezeki halal
1 - Bekerjalah dengan jujur dan ikhlas dalam mencari rezeki kerana setiap harta yang kita peroleh akan dipersoal di hadapan ALLAH.
Ingatlah bahawa yang halal itu membawa keberkatan dan ketenangan, manakala yang kotor dan haram itu walau melimpah sekalipun hanya menjadi racun yang mengundang murka dan azab-NYA.
2 - Dalam kesibukan mencari rezeki, jangan sampai kehilangan jiwa keluarga kerana anak-anak itu amanah yang turut akan menjadi saksi di hadapan ALLAH.
Didiklah mereka dengan iman dan kasih sayang sebelum dunia yang keras mendidik mereka tanpa pegangan iman.
3 - Hanya dengan kekuatan iman, solat dan ilmu agama di samping pengawasan yang berterusan, generasi muda dapat diselamatkan daripada gelombang ketagihan gajet, hedonisme dan pornografi yang kian meruntuhkan akhlak dan jiwa.
Ringkasan AI
- UMAT Islam dituntut supaya bekerja bersungguh-sungguh dan memastikan rezeki yang diperoleh datang dari sumber yang halal Rezeki yang halal merupakan punca ketenangan hati dan keberkatan hidup Pekerjaan yang dilakukan adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT Dalam mencari rezeki halal, umat Islam jangan lalai terhadap kebajikan dan didikan keluarga Langkah tegas dan bersepadu perlu dilaksanakan untuk melindungi generasi muda daripada gejala tidak bermoral
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

