MPOB gerakkan transformasi besar

DR. AHMAD PARVEEZ
DR. AHMAD PARVEEZ
A
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada penambahan keluasan tanah bagi meningkatkan pengeluaran minyak sawit negara. Sebaliknya, masa depan industri itu kini bergantung kepada sains, teknologi dan kecekapan rantaian bekalan.

Itulah mesej utama yang ditegaskan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir pada PIPOC 2025, yang menyatakan bahawa negara perlu ‘menghasilkan lebih dengan tanah yang sama’, sejajar dengan komitmen alam sekitar, tuntutan pasaran global dan kekangan tenaga buruh.

Jelasnya, pendekatan baharu itu dibina atas empat teras utama: genomik, mekanisasi, digitalisasi rantaian bekalan dan sistem pengesanan penyakit.

Dr Ahmad Parveez berkata landskap minyak sawit dunia berubah pantas apabila syarat import semakin ketat, pasaran menuntut ketelusan penuh dan isu alam sekitar menjadi perhatian utama.

“Keadaan itu menjadikan produktiviti setiap hektar sebagai ukuran daya saing negara. Menurutnya, Malaysia kini berada pada era baharu di mana pertumbuhan tidak lagi boleh berlaku melalui peluasan kawasan, tetapi melalui peningkatan hasil secara saintifik dan sistematik.

“Jadi, Malaysia perlu berkembang ke atas, bukan meluas ke luar,” katanya.

Dalam teras pertama, MPOB memberi penekanan besar terhadap genomik untuk memastikan bahan tanaman yang memasuki ladang adalah berkualiti tinggi dan mempunyai ketepatan genetik.

Teknologi seperti SNP arrays membolehkan pengesahan identiti genetik dilakukan lebih awal, manakala penanda molekul pula digunakan untuk memastikan ketulenan baka.

Pada masa sama, proses saringan awal kini mampu mengesan sifat abnormal dan pencemaran varieti termasuk kes tidak tulen atau non-tenera. Langkah-langkah ini kritikal kerana sebarang kesilapan di peringkat nurseri boleh menjejaskan produktiviti ladang untuk tempoh sehingga 25 tahun.

Artikel Berkaitan:

Melalui kawalan itu, MPOB memastikan generasi baharu pokok sawit mempunyai kandungan minyak lebih tinggi, kematangan lebih seragam, lebih sesuai untuk mekanisasi dan lebih tahan terhadap penyakit.

Aspek mekanisasi pula diangkat sebagai jawapan utama kepada krisis tenaga buruh yang semakin menekan industri.

Menurut MPOB, kebergantungan terhadap tenaga kerja asing tidak lagi mampan dalam jangka panjang. Justeru, mekanisasi bukan lagi dianggap pilihan atau pelengkap, tetapi satu keperluan asas.

Inovasi seperti peralatan menuai berasaskan mesin, robotik, alat bantu penuaian yang mengurangkan keletihan pekerja, serta penggunaan teknologi UAV untuk pemantauan ladang kini antara usaha yang diperkukuhkan.

MPOB menegaskan bahawa mekanisasi bukan sekadar menggantikan pekerja, tetapi satu mekanisme untuk memastikan hasil tidak bocor akibat kelewatan menuai atau keletihan pekerja. Setiap tandan masak yang tidak dituai, katanya, adalah kerugian negara.

Dalam masa sama, Malaysia juga melangkah ke arah rantaian bekalan berasaskan data dan sistem jejak digital yang lebih telus bagi memenuhi standard pasaran global seperti Kesatuan Eropah.

MPOB membangunkan sistem digital termasuk SIMS dan GeoSAWIT bagi memastikan setiap pergerakan minyak sawit dapat dijejak, disahkan dan direkodkan dengan tepat. Melalui penggunaan sistem ini, asal usul pembekal dapat dipastikan, status tanah dapat disahkan dan transaksi pekebun kecil dapat direkodkan dengan lebih teliti.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi ketenangan kepada pembeli antarabangsa yang semakin mengetatkan syarat import, tetapi turut melindungi pekebun kecil daripada tercicir akibat ketidakpatuhan dokumentasi.

MPOB turut menekankan perlunya sistem pertahanan ladang yang lebih berasaskan data melalui pengesanan penyakit yang lebih awal.

Teknologi seperti penderiaan jauh, pemantauan digital dan sistem pengesanan awal membolehkan penyakit dikenalpasti sebelum ia merebak dan menyebabkan kerugian besar.

Dengan sistem yang lebih prediktif ini, tindakan pembetulan dapat dilakukan lebih awal, sekali gus memastikan hasil ladang tidak terjejas.

Keseluruhan pembentangan MPOB pada PIPOC 2025 dilihat sebagai pelan transformasi industri secara menyeluruh. Daripada genomik kepada mekanisasi dan digitalisasi hinggalah pemantauan penyakit, kesemua aspek saling melengkapi.

Genetik yang lebih baik memudahkan mekanisasi, mekanisasi pula memastikan potensi genetik diterjemahkan kepada hasil sebenar, manakala sistem digital memastikan setiap proses direkodkan dan dipatuhi.

Pada masa sama, sistem pengesanan penyakit memastikan tiada gangguan kepada produktiviti. Gabungan elemen ini diyakini sebagai faktor utama yang menentukan daya saing minyak sawit Malaysia pada dekad akan datang.

PIPOC 2025 merumuskan satu mesej jelas: Malaysia tidak akan membuka lebih banyak tanah untuk tanaman sawit baharu. Sebaliknya, negara akan meningkatkan keupayaannya dengan menjadi lebih pintar melalui inovasi saintifik, data dan teknologi.

Dengan perubahan struktur industri yang lebih moden dan bersepadu, Malaysia diyakini mampu kekal sebagai peneraju minyak sawit dunia tanpa perlu menambah walau seinci tanah baharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!