Cerminan diri, masa depan generasi Madani

DALAM hiruk-pikuk dunia yang berubah terlalu cepat, kita sering terperangkap antara harapan dan keresahan. Kita mahukan negara yang maju, pemimpin yang berwibawa dan masa depan yang terjamin.
Namun, adakah kita sendiri sedang menjadi warga yang melengkapi cita-cita itu? Itulah inti sebenar pembinaan Generasi Madani, gagasan yang bukan hanya bersandar pada dasar negara tetapi juga pada jiwa rakyat yang memilih menjadi manusia lebih baik.
Sejak gagasan Madani diperkenalkan, ramai melihatnya sebagai slogan politik atau retorik yang hanya hidup di pentas politik.
Namun sesiapa yang benar-benar menghayati makna Madani akan mengerti bahawa ia bukan sekadar kata-kata, ia adalah cara hidup.
Pun begitu, tidak ramai yang sanggup menghidupkan nilai itu dalam diri. Kita lantang menuntut integriti tetapi masih culas dalam perkara kecil seperti berebut barisan, memotong giliran, membuang sampah merata atau menangguh kerja sesuka hati.
Di sinilah ironinya, kita mahu Malaysia berubah tetapi kita sendiri tidak bersedia berubah bersama Malaysia.
Di sebalik semua itu, generasi baharu Malaysia punya sesuatu yang besar iaitu keberanian mempersoal dan menuntut keadilan. Mereka tidak lagi menerima dunia seadanya.
Mereka mahu ruang bersuara, peluang setara serta pemimpin yang telus. Tetapi keberanian tanpa hikmah hanyalah gema kosong.
Lantas timbul persoalan bagaimana kita membentuk generasi yang bukan sekadar berani bertanya tetapi juga bijaksana dalam menjawab?
Di sinilah muncul kerangka Generasi Madani sebagaimana yang sering dihuraikan dalam naratif kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi beliau, pembangunan negara tidak bermula dengan angka KDNK, menara pencakar langit, projek mega bilion ringgit atau graf pelaburan mencanak naik.
Kemajuan bermula dengan kualiti manusia, insan yang terdidik akal budinya, teguh jiwanya dan jernih hatinya.
Manhaj ini lahir bukan dari teori semata-mata tetapi daripada pengalaman panjang Anwar sendiri; jatuh, bangkit, dizalimi, dipenjarakan dan akhirnya kembali memimpin.
Dari ruang-ruang sempit penjara itulah lahir renungan tentang karamah insaniah, kemuliaan manusia yang tidak boleh ditawar ganti.
Generasi Madani maka demikian difahami, mesti berdiri atas tiga teras iaitu akal yang berfikir, kehidupan yang sejahtera dan jiwa yang bermaruah.
Teras pertama, pembinaan masyarakat berfikir atau thinking society. Dalam era media sosial yang deras menyuap maklumat, rakyat tidak lagi boleh menjadi penonton pasif. Mereka perlu menilai, menapis dan memahami konteks sebelum mempercayai sesuatu.
Teras kedua pula ialah kesejahteraan yang adil dan mampan. Generasi Madani tidak boleh dibina atas struktur ekonomi yang pincang atau peluang yang berat sebelah.
Mereka perlu pekerjaan bermaruah, pendapatan yang sepadan, persekitaran selamat dan sistem sokongan sosial yang kukuh
Teras ketiga dan paling besar ialah karamah insaniah, nilai yang memuliakan martabat manusia. Generasi yang hebat bukanlah mereka yang hanya menguasai teknologi atau ekonomi, tetapi mereka yang memegang erat keadilan, belas ihsan, toleransi dan keberanian menegakkan kebenaran.
Pembinaan Generasi Madani tidak boleh bersandarkan dasar kerajaan semata-mata. Dasar memberi arah tetapi sikap manusialah yang menentukan jaraknya.
Akhirnya, Generasi Madani bukan soal siapa memimpin atau parti mana memerintah. Ia tentang siapa kita mahu jadi sebagai rakyat, sebagai manusia dan sebagai penjaga masa depan negara.
Madani bermula di Parlimen tetapi ia tumbuh subur di rumah, di sekolah, di pejabat, di jalan raya dan dalam jiwa setiap insan yang percaya Malaysia boleh menjadi lebih indah daripada ‘asal boleh’.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

