MyCEB hargai peranan media perkukuh naratif Malaysia di peringkat global

MALAYSIA Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) menghargai peranan rakan media sebagai rakan strategik dalam memperkukuh naratif Malaysia di peringkat global menerusi penganjuran program MyCEB Media Engagement 2026 di Botanica+Co, Bamboo Hills, di sini pada Rabu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Mei Phing berkata, program itu mencerminkan komitmen MyCEB menghargai peranan penting media dalam menyebarkan naratif yang tepat dan berimpak tinggi berkaitan sektor Acara Perniagaan serta Acara Sukan Antarabangsa Malaysia.
“Media merupakan rakan strategik utama dalam membentuk persepsi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global. Mereka juga memainkan peranan penting menterjemahkan visi kami kepada penceritaan yang kredibel dan berkesan di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama ini membolehkan kekuatan Malaysia diketengahkan dengan lebih jelas, yakin dan berwibawa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam sesi yang sama, MyCEB membentangkan perkembangan terkini inisiatif dan keutamaan strategik bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran Acara Perniagaan dan Acara Sukan Antarabangsa bernilai tinggi.
Bagi tahun 2025, MyCEB berjaya mendapatkan sebanyak 393 acara perniagaan dengan anggaran impak ekonomi berjumlah RM4.07 bilion hasil kehadiran delegasi antarabangsa, sekali gus mencerminkan pemulihan kukuh industri serta keyakinan berterusan penganjur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi tuan rumah yang kompetitif.
Untuk tahun 2026 setakat ini, MyCEB telah merekodkan sebanyak 92 acara yang berjaya diperoleh dengan Anggaran Impak Ekonomi (EEI) sebanyak RM1.63 bilion, melibatkan 101,365 delegasi antarabangsa dan jumlah keseluruhan kehadiran mencecah 230,284 orang.
Dalam segmen Acara Sukan Antarabangsa pula, sebanyak empat acara berjaya diperoleh, menyumbang RM76.1 juta perbelanjaan pelawat, dengan 7,730 kehadiran antarabangsa serta jumlah keseluruhan penonton seramai 82,190 orang.

Prestasi setakat 23 Januari 2026 itu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk penganjuran acara antarabangsa bernilai tinggi.
Tambahnya, penganjuran MyCEB Media Engagement 2026 mencerminkan komitmen berterusan MyCEB dalam membina hubungan profesional yang berteraskan kepercayaan dan kerjasama jangka panjang bersama pihak media.
“Media kekal sebagai rakan utama dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat serantau dan global,” ujarnya.
Ringkasan AI
- MyCEB menghargai peranan media dalam memperkuat naratif Malaysia secara global
- Program MyCEB Media Engagement 2026 diadakan untuk menunjukkan penghargaan kepada media
- Media dipandang sebagai rakan strategik dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan acara perniagaan dan sukan antarabangsa
- Untuk tahun 2025, MyCEB berjaya mendapatkan 393 acara perniagaan dengan impak ekonomi RM4.07 bilion
- Prestasi MyCEB menunjukkan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi acara bernilai tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
